Friday, November 22, 2024

DIA MENARIK PERHATIANKU - BAB 7

 

Bab 7

            ATAN berjalan di sepanjang pagar kebun pagar untuk memastikan tiada lagi cerobohan dari babi hutan. Dia berasa lega melihat pagar tiada kerosakkan. Bulan lepas ada babi hutan menceroboh masuk kebun ini. Habis pagar rosak tetapi mujurlah pokok pisang berangan yang ada di sekitar situ sudah pun dituai. Kalau tak, mesti rugi.

            Pandangan Atan beralih pula ke arah tanah yang dipenuhi semak samun yang terletak di belakang kebun pisang. Rasa bimbang jika babi hutan datang lagi. Lagipun hari ini mereka akan menanam 200 anak pisang nangka. Dia perlu buat sesuatu supaya apa yang berlaku bulan lepas takkan terjadi lagi.

            Tiba-tiba Atan teringat kerja yang seterusnya.

            “Mesti Pak Walid dah sampai.” Atan bersuara. Dia mencepatkan langkah menuju ke arah pondok yang merupakan tempat untuk mereka berehat dan berteduh termasuklah stor untuk simpanan barang.

            Kaki berhenti secara tiba-tiba setelah menyedari ada kelibat lain selain Pak Walid dan Wafiy.

            “Aduh! Kenapa pulak Widad kat sini? Mana-mana saja mesti ada Widad. Lagi aku nak lari, lagi dekat Widad tu datang. Nak tak nak aku kena hadap jugak Widad ini.” Atan menggelengkan kepala. Kali ini dia redha saja. Malas nak serabutkan kepala.

            “Atan!” Kedengaran suara Widad setelah menyedari kehadiran Atan. Senyuman meleret hingga ke telinga.

            Atan tidak mempedulikan Widad dan mendekati Pak Walid.

            “Baguslah, kamu sudah datang. Kamu dengan Wafiy bawa wheel barrow ini.” Beritahu Pak Walid. Dia menunjukkan dua buah wheel barrow yang penuh dengan anak-anak pisang nangka.

            “Baiklah, Pak Walid.” Kata Atan. Dia dan Wafiy menolak wheel barrow bersama-sama menuju ke kawasaan yang sudah ditanda untuk menanam pokok pisang nangka.

            Widad cuba mengambil peluang ini untuk mendekati Atan. Baru setapak melangkah, nama Widad dipanggil.

            “Widad, nak ke mana tu? Tolong ayah bawa cangkul ini.” Arah Pak Walid. Sempat lagi menjeling kerana geram dengan perangai Widad. Ada saja nak dekat dengan Atan.

            Dengan wajah masam, Widad hampiri ayahnya. Dia mengambil dua batang cangkul dan mengekori ayahnya.

            “Berat la ayah.” Widad merunggut.

            “ Dah nama cangkul, dah tentu la berat. Datang sini kena la tolong buat kerja. Selepas tanam semua anak pokok tu, ada kerja lain nak kena buat. Cepat la sikit.” Balas Pak Walid.  Mesti nak cari alasan curi tulang. Kenal sangat dengan perangai anak sulungnya itu. Hari ini dia akan suruh Widad buat kerja berat-berat supaya Widad takkan datang ke kebun ini lagi.

            Muncung terus bibir Widad selepas mendengar kata-kata ayahnya. Maklum la tersentap. Langkah berjalan pun sudah tak betul, mana taknya kasut boot bertumit tinggi yang dipakainya asyik terbenam ke dalam tanah. Dah la tu kena bawa cangkul. Dalam hati, Widad mengeluh.

            Sambil menolak wheel barrow, Atan tersenyum mendengar perbualan Pak Walid dan Widad. Dengan sengajanya dia memasang telinga. Memang patut pun Pak Walid suruh Widad buat kerja, ingat datang sini boleh goyang kaki. Biar Widad serik nak datang sini selepas ini.

            Mereka semua tiba di tapak yang akan ditanam pisang nangka.

            Tanpa disuruh, Atan dan Wafiy sudah tahu apa yang perlu dibuat.

            “Kamu, Widad! Tanam 50 anak pisang kat baris ini.” Beritahu Pak Walid.

            “Apa 50 anak pisang? Tapi ayah, kasut Widad ni tak sesuai nak kerja kat sini. Aaaa…. Widad balik dulu tukar kasut.” Widad terkejut dan mula terus memberi alasan. Kalau setakat nak tanam dua tiga anak pokok, dia boleh la tolong. Dalam masa yang sama, Widad menunjukkan kasut boot tinggi yang dipakainya. Sekelip mata kasut mahalnya itu sudah kotor.

            “ Dah nama nak pergi kebun, buat apa pakai kasut lawa macam ini. Dah tak payah balik, ada boot getah kat pondok. Pakai saja yang tu, boot getah mak kamu. Saiz sama kan? Wafiy, kamu pergi ambil boot getah kat pondok tu untuk kakak kamu.” Balas Pak Walid. Dia akan pastikan Widad menolong dia di kebun hari ini.

            “Baik, ayah!” jawab Wafiy. Dia sempat tersengih ke arah Widad yang sudah bermuka masam. Seronok sangat-sangat! Langkah diatur laju menuju ke pondok.

            Widad mengetap bibir. Gelisah terus!

            Atan yang menyaksikan apa yang berlaku hanya mampu menggelengkan kepala. Disebabkan Widad, kerja mereka semua tertangguh. Dia terus berjalan mendekati barisan yang akan ditanam dengan anak pokok pisang nangka. Dengan menggunakan cangkul, dia menggali lubang dan menggembur dulu tanah itu untuk pengudaraan yang baik. Anak pisang diangkat dan ditanam ke dalam lubang. Jarak tanaman anak pokok pisang juga penting untuk proses pembesaran.

            Sebaik saja selesai menanam 50 anak pisang, Atan menarik nafas lega. Tuala yang ada di bahu digunakan untuk mengelap wajahnya yang dibasahi dengan peluh. Penat tapi berbaloi. Tak sabar dia menanti untuk dituai hasilnya.

            Pandangan Atan ke arah Wafiy dan Pak Walid yang hampir selesai menanam anak pisang di barisan bersebelahan dengan Atan. Setiap orang akan menanam 50 anak pisang di empat barisan yang telah ditanda.  Matanya beralih pula melihat Widad yang masih jauh ke belakang. Rasa-rasanya baru 20 anak pisang yang ditanam oleh Widad. Nampak sangat Widad begitu kekok menanam anak pisang. Maklum la city girl! Bertahun-tahun tinggal di kota London.

            Atan mengeluh kuat sebelum mendekati Widad.

            “Tepi! Biar saya yang buat.” Atan bersuara. Dia terus mengambil cangkul dari tangan Widad.

            Mulanya Widad terkejut kemudian Widad tersenyum.

            “Awak ni memang sweet la.” Widad bersuara. Mata tak berkelip memandang Atan. Tak pernah terfikir pun yang Atan akan menolong dia. Jujurnya dia nak putus asa menanam semua ini, nak tercabut kedua-dua tangan dan pinggang. Seumur hidup dia tak pernah kerja macam ini. Lagipun kebun pisang miliknya ayahnya ini dibuka selepas ayahnya bersara. Asalnya menanam pokok pisang ini hanya sekadar hobi ayahnya untuk mengisi masa lapang. Tanah yang dulunya lima hektar saja kini sudah 25 hektar. Atas permintaan pembekal, ayahnya membuat keputusan untuk mengembangkan perusahaan ini. Dalam masa lima tahun, tanaman pisang ini menjana pendapatan yang lebih stabil. Lagipun Wafiy dan Atan ada membantu ayahnya.

            Atan malas melayan kerenah Widad. Dia menyambung kerja Widad yang tidak siap itu.

            “ Esok cuti kan? Awak buat apa? Jom keluar. Kita keluar pergi Taiping ke? Aaa… Penang pun boleh.” Ajak Widad. Dia mengambil peluang ini untuk mendekati Atan. Sempat lagi dia melihat ke arah ayah dan adiknya yang begitu asyik membuat kerja masing-masing. Cantik bila tiada orang yang akan kacau daun.

            “ Esok saya sibuk. Banyak kerja nak buat.” Jawab Atan. Dalam hati, dia mengeluh. Asyik ajak keluar saja, rimas la. Macam la tak tahu alasan sebenar Widad mengajak dia keluar. Tak habis-habis nak mengorek asal usul dia yang sebenar.

            “Dah nama cuti, takkan kerja kot. Kerja apa?” Widad tidak puas hati dengan jawapan Atan. Setiap kali ajak keluar, ada saja alasan yang diberikan.

            “Kerja rumah la.” Jawab Atan dengan nada acuh tak acuh.

            “Ala…. Kerja rumah boleh buat kemudian kan!” pujuk Widad.

            Atan diam membisu. Dia tak ada mood nak melayan. Fokus dia hanya satu iaitu menghabiskan menanam anak pokok pisang dalam barisan sehingga ke hujung.

            “Awak! Dengar tak, apa saya cakap ini! Jom la keluar. Saya belanja awak makan sekali. Susah sangat ke nak keluar dengan saya? Saya bukan nak makan awak pun. Aaa…. Kalau tak nak keluar berdua, saya ajak Wafiy sekali. Kita keluar bertiga, nak tak?” Widad tetap memujuk Atan walaupun dirinya tidak diendahkan.

            “Tak ingin la ikut, tak best pun kalau ikut Kak Widad keluar. Asyik nak orang ikut cakap dia saja.” Kedengaran suara Wafiy di belakang Widad.

            Widad menoleh ke belakang dan menjeling ke arah adiknya. Kata-kata Wafiy merosakkan rancangan dia. Geram teramat sangat.

            Tiba-tiba Wafiy ketawa melihat Widad.

            “Apa!” marah Widad. Panas hati ini apabila Wafiy sedang gelakkan dia.

            “Sekejap!” kata Wafiy. Dirinya masih tidak dapat menahan ketawa. Telefon pintar dikeluarkan dari poket seluarnya. Gambar Widad diambil dan ditunjukkan dekat kakaknya.

            Mata Widad terbeliak besar apabila melihat wajahnya. Dia menjerit sekuat hati dan kemudian menutup wajahnya. Malu! Dengan lajunya dia berlari meninggalkan Atan dan Wafiy.

            Semakin kuat gelak ketawa Wafiy. Gambar yang ditangkap sebentar tadi pasti dibuat simpanan seumur hidup.

            “Amboi! Gelak sakan nampak.” Atan bersuara dan melihat ke arah Wafiy.

            “Kenapa Abang Atan diamkan saja bila tengok wajah Kak Widad comot macam tu?” tanya Wafiy.

            “ Baik buat tak tahu saja, nanti Widad jugak malu.” Jawab Atan yang masih menanam anak pokok pisang. Mulanya memang dia nak tergelak apabila melihat wajah Widad tetapi membuat keputusan untuk mendiamkan diri. Sebab itu jugaklah, dia tak memandang wajah Widad. Jika dia tegur, mesti Widad terasa malu.

            “Wah, Abang Atan memang gentleman la.” Puji Wafiy. Dia tersenyum melihat Atan.

            Atan mendiamkan diri dan menumpukan fokus sepenuhnya menghabiskan kerja Widad.

                                                *******************************

            Selepas membasuh mukanya di singki tandas, Widad melihat wajahnya di cermin. Wajahnya kini sudah bersih. Terkejut dia melihat wajahnya tadi, dah buat kerja tengah panas, sudah tentu la makep bercapuk apabila berpeluh. Dia mengetap bibir setelah memikirkan perangai Atan yang hanya mendiamkan diri tanpa memberitahu dirinya. Sakit hati bila Atan buat dek saja.

            “ Dah la malu, geram pun!” Widad bersuara. Wajah yang basah dikeringkan dengan tuala kecil.

            Widad keluar dari tandas. Dia terkejut melihat ayahnya yang sedang duduk di pangkin kayu.

            “ Aaa…. Jom! Selepas ini kita nak baja pulak pokok pisang tanduk pulak.” Ajak Pak Walid. Dia menunggu Widad keluar dari tandas pondok. Atan dan Wafiy sudah pun pergi membaja.

            Terkejut dengan ajakkan Pak Walid, tiba-tiba Widad terus memegang perut. Dia berpura-pura sakit perut untuk melepaskan diri. Diri ini sudah tak larat nak buat kerja. Panas pulak tu.

            “Ayah! Widad kena balik rumah, nak buang air besar, perut ini tiba-tiba meragam.” Beritahu Widad. Dia berpura-pura menahan sakit.

            “Berak saja kat tandas tu. Kan sama saja.” Jawab Pak Walid dengan selamba. Dia tahu niat sebenar Widad.

            “Mana sama, tak sama la! Apa-apa pun Widad nak balik jugak. Ayah, nak kunci kereta.”  Widad berkeras.

            “Kereta ayah nak guna nanti, tu ambik saja motor Wafiy tu. Kunci kat dalam pondok.” Kata Pak Walid. Dalam masa yang sama, mata memerhatikan perangai Widad.

            “Ayah tolong la ambilkan, Widad sakit perut ini.” Arah Widad. Kalau dia pergi ambil sendiri, nampak sangat dia hanya berpura-pura.

            Pak Walid menggelengkan kepala dan berjalan masuk ke dalam pondok untuk mengambil kunci motor Wafiy.

            Sebaik saja Widad mengambil kunci motor dari ayahnya, dia berjalan laju ke arah motor Wafiy.

            “Aii…. Dah hilang sakit perut ke?” tanya Pak Walid diakhiri dengan ketawa. Lucu melihat Widad. Berjalan sampai tak pijak tanah.

            Widad tidak mempedulikan kata-kata ayahnya. Enjin terus dihidupkan apabila membonceng motor itu dan dia terus memulus minyak motor. Apa yang penting, dia kena keluar dari kebun ini. Kalau tak, dia akan jadi hamba abadi kat sini. Sikit pun dia tak menoleh ke belakang.

            Lebih kurang lima minit, Widad tiba di rumahnya.

            “ Aiii… Awalnya balik!” tegur Mak Esah yang sedang menyiram pokok bunga setelah menyedari kepulangan Widad. Yang lagi pelik apabila Widad pulang dengan motor Wafiy.

            Dengan wajah masam, Widad hampiri ibunya.

            “Mak, ada ke patut ayah suruh Widad tanam anak pisang kat kebun tu. Sampai hati ayah buat Widad macam tu.” Widad mengadu dekat Mak Esah. Mengharapkan nasibnya dibela.

            “Laaa… Dah pergi kebun, memang patut pun buat kerja.” Balas Mak Esah.

            “Mak dengan ayah sama saja!” Bertambah masam muka Widad selepas mendengar kata-kata Mak Esah. Langkah diatur terus masuk ke dalam rumah. Menyesal pulak ikut ayahnya pergi kebun pagi ini.

            Pintu bilik ditolak dengan kasar. Suis kipas dipetik. Maklum la tengah panas hati. Telefon pintar terus dibaling atas katil.

            “ Lain yang aku plan, lain pulak yang jadi. Asalnya aku nak ajak Atan keluar, sekarang ini habuk pun tak ada. Atan pun satu, susah sangat ke nak setuju keluar dengan aku? Argh… He makes me crazy! ” Widad bercakap seorang sambil mencekak pinggang.

            Kemudian Widad mencapai tuala kerana dia rasa tak selesa kerana badannya rasa melekit akibat peluh bekerja di kebun.

            Bunyi telefon pintarnya mengejutkan Widad.

            “Siapa pulak call ni, aku nak mandi pun tak senang.” Widad merunggut. Diambil telefon pintarnya itu dari atas katil dengan kasar. Tiba-tiba anak mata membesar melihat nama yang tertera di skrin telefon. Dia segera menjawab panggilan yang penting itu.

            “Assalammualaikum…..”

            “Waalaikumussalam, Cik Hana! Sihat?” jawab Widad dengan penuh sopan santun.

            “Sihat alhamdullilah. You sihat?”

            “Dah tentu la sihat. Dapat balik kampung lepas tu dapat spend time dengan family. Terubat rasa rindu ni.” Widad tersenyum.

            Bestnya ada kampung. Kampung I kat KL saja. Tak dapat I nak rasa semua tu.”

            “ Ala…. Cik Hana boleh saja datang kampung I ni. Lagipun family I ada homestay. Kalau nak datang, beritahu I. I akan uruskan semuanya. Cik Hana boleh jalan-jalan kat sini sebab sini ada banyak air terjun yang cantik-cantik.”

            “ Ya ke? Maybe satu hari nanti I akan pergi. Widad, stop calling Cik Hana! Kan I dah cakap, panggil saja I Hana.”

            “Hmm…. Kalau macam tu I panggil Hana lepas waktu kerja, boleh kan!” kata Widad. Walaupun Hana tak kisah tetapi Hana adalah majikan. Dia tetap kena hormat Hana.

            Of course boleh. So bila you balik KL?”

            “Hmmm…… Rasanya hari Sabtu. I dah dapat rumah kat Cheras.” Beritahu Widad. Ayahnya akan tolong hantarkan ke KL bersama ibu dan adiknya.

            “Kereta macam mana? Kalau you nak, I boleh bagi kereta I?”

            Thank you but I dah sewa kereta tapi you boleh teman I masa nak beli kereta nanti.”

            Of course boleh. Okeylah I tak nak ganggu you berehat. Nanti kirim salam I kat parents you. Bye. Assalammualaikum…..”

            “Waalaikumussalam.” Widad tersenyum selepas mengakhiri perbualan tadi. Bertuah bila dapat majikan yang ambil berat pasal pekerja. Tak sabar dia nak bekerja DA Group nanti. Permulaan baru bagi kehidupan dia di Malaysia.

No comments:

Post a Comment

DIA MENARIK PERHATIANKU - BAB 10

  Bab 10             PAK WALID yang baru saja melangkah masuk ke ruang dapur tercengang melihat Widad bergegas keluar rumah dengan membaw...