Bab
1
EMIRA melangkah masuk ke
dalam rumah dengan memberi salam. Dia melihat teman serumahnya selama lima
tahun ini sedang duduk di sofa menonton tv.
“Waalaikumussalam! Baru balik?
Lambatnya kau balik hari ini, banyak kerja ke?” tanya Kausar. Dia mengambil
kerepek ubi dan terus dimasukkan ke dalam mulut. Balang kerepek ubi masih
berada dalam pelukkan dia. Semasa dia menonton drama, dia terdengar bunyi motor
Emira.
“ Biasa la hujung minggu. Ramai
sangat orang kat Watsons.” Jawab Emira sambil tersenyum menjawab pertanyaan
Kausar. Dia meletakkan topi keledarnya di atas almari kasut. Pintu almari kasut
dibuka, dia terus meletakkan kasut kerjanya di dalamnya.
“Bulan depan, kau dah start phd kan?
So kau still lagi nak kerja part time ke?” tanya Kausar. Tak sangka Emira masih
bersemangat untuk study phd lagi, bagi dia degree sudah cukup, dia sudah tak
sanggup nak belajar lagi. Alhamdulillah dia dapat kerja selepas habis degree.
Memang rezeki dia agaknya. Dia bersyukur sangat-sangat mendapat kerja menjadi
penolong akauntan.
“ Ya. Aku dah plan semuanya, tak ada
masalah pun kalau aku kerja part time dengan study. Lagipun aku kena cari duit
jugak nak bayar duit sewa, betul tak?” Emira tersenyum.
“Bukan apa, aku risau jugak tengok
kau kerja kuat sangat lepas tu belajar lagi. Kau boleh minta tolong parents kau
kan!” Kausar melihat ke arah Emira. Keluarga Emira bukannya datang dari
keluarga yang susah pun. Ayah Emira seorang juruterbang MAS manakala ibu Emira
pulak seorang peguam yang ada firma guaman sendiri. Sebenarnya Emira datang
dari keluarga senang.
“Kau tahu kan prinsip aku, selagi
aku kuat bertenaga, aku mahu berdikari. Aku tak nak menyusahkan parents aku.
Aku yang nak sambung belajar jadi aku kena support diri aku sendiri, betul
tak?” tegas Emira. Keputusan dia untuk menyambung pelajaran PHD mendapat
tentangan hebat dari ayahnya. Pada pendapat ayahnya, bidang yang dia mahu
ceburi itu tidak menjamin masa depan. Dia mahu membuktikan dekat ayahnya yang
dia boleh berjaya dengan bidang yang diceburinya.
Kausar hanya mampu tersenyum kelat.
Sejak dulu lagi Emira seorang yang suka berdikari dan tidak suka menyusahkan
orang lain.
“Aaa… Ada poskad untuk kau. Sorry la
aku terbaca tadi. Dah nama poskad kan! Ada kat meja.” Beritahu Kausar. Dia baru
teringat ada poskad di dalam peti surat semasa dia balik kerja tadi.
“Poskad? Dari siapa?” Dahi Emira
berkerut. Dia berjalan ke arah meja.
“Kau pernah pergi Kanada ke? Poskad
tu dari Kanada. Aaa….Nama pengirim tu Rais!” tanya Kausar. Sebenarnya dia rasa
pelik dengan poskad itu.
“Bila masanya aku pergi Kanada?
Setiap hari kau nampak aku kan! Kalau tak silap aku perjalanan Malaysia ke
Kanada lebih kurang 17 jam 50 minit rasanya!” jawab Emira. Semakin berkerut
dahinya apabila membaca kandungan poskad itu.
“Assalammualaikum …. Arfa Emira! How
are you? Lama tak dengar pasal you selepas you balik Malaysia. How’s life? I
selalu ingatkan masa kita bersama di sini! Jalan-jalan di Niagara Falls, Menara
CN and The Butchart Garden! I miss those times and I miss you so much, Arfa!
You tukar no phone ke? I try contact you tapi tak dapat. Lepas dapat poskad ni,
call I balik, I still guna no phone yang sama. Bye! From Rais Taufiq. Siapa dia
ni?” Emira membacanya dengan kuat selepas itu mulutnya ternganga beberapa saat.
Kemudian Emira menoleh ke arah Kausar.
“Nama memang dah betul nama kau tapi
misterinya siapa Rais Taufiq tu? Betul ke kau tak pernah pergi Kanada!” balas
Kausar.
“Hari-hari kau nampak muka kat rumah
ni lagipun aku ni mana ada duit nak pergi holiday tambah-tambah lagi nak
holiday kat Kanada. Aku ni mana ada duit nak pergi sana, tiket flight pun aku
tak mampu beli! Biarlah, aku rasa si Rais Taufiq ni tersalah alamat kot. Maybe
nama kami sama, mungkin ada orang lain nama sama dengan aku. Dah la, aku nak
mandi dulu. Lepas aku solat Isyak, kita keluar makan!” kata Emira.
“Okey!” jawab Kausar. Tumpuan dia
kembali ke arah tv.
Emira berjalan ke arah bilik
tidurnya. Sambil berjalan, sekali lagi dia melihat poskad yang ada di
tangannya. Kenapa dia rasa gusar melihat poskad ini? Argh… bukan masalah dia
pun.
*********************
Selepas tamat perbualan dengan
ibunya, Emira kembali semula duduk di sebelah Kausar. Dia melihat Kausar begitu
berselera makan satay. Mereka berdua membuat keputusan untuk makan dekat gerai
satay berhadapan taman perumahan yang mereka tinggal.
“Amboi! Amboi! Makan sampai tak
ingat kawan.” Kata Emira.
“Bahagian kau, sikit pun aku tak
sentuh. Nak buat macam mana, satay Mak Yani memang sedap menjilat jari. Kuah
kacang dia orang memang terbaik. Aaa… pasal apa umi kau call?” jawab Kausar
sambil mengunyah.
“Umi suruh aku balik bulan depan,
aku cakap tak boleh sebab aku busy kerja part time lepas tu aku dah start
belajar kan. Umi cakap abah dah mula bising sebab last aku jumpa dia orang masa
Hari Raya Haji. Aku malas nak balik sebab abah mesti nak perli aku. Apa saja
pilihan aku, semuanya tak kena di mata abah. Aku sedar aku ni bukan anak
kesayangan abah.” Beritahu Emira. Setiap kali balik, mesti sakit hati. Memang
dia kecik hati dengan sikap ayahnya yang pilih kasih, tak salah kalau sokong
pilihan yang dia buat.
“Kau patut belajar dari adik kau,
Inara. Pandai-pandai kau ambil hati abah kau.”
“Aku bukan kaki bodek macam Inara tu.
Abah nak kami berdua jadi pilot macam dia tapi aku memang tak minat langsung
nak jadi pilot, Inara pun sama tak minat tapi Inara pilih nak jadi pramugari.
Mula-mula tu memang la abah marah tapi aku tak tahu apa Inara cakap sampai abah
setuju Inara nak jadi pramugari.” Mulut Emira terus muncung apabila bercakap
mengenai Inara. Sememangnya hubungan dia dengan Inara tidak rapat.
“Aku masih ingat lagi first time
jumpa Inara tu kat Pavillion Bukit Jalil, sampai sekarang aku masih ingat
detik-detik aku berjumpa Inara. Aku janji nak jumpa BFF aku kat sana, aku
terkejut bila jumpa kau berpakaian feminin dengan mekap sekali. Bukan main lawa
giler kau masa tu, aku pun tegur kau tapi kau siap jeling lagi lepas tu dengan
sombongnya kau tanya aku ni siapa! Memang terbeliak mata aku tu, sampai hati
kau tak kenal housemate kau. Bila aku panggil nama kau, muka kau terus
berubah.” Cerita Kausar. Dia terus berhenti makan.
“ You tak ada mata ke? Tak tahu beza
ke? I Inara bukan Emira, faham!” Kausar melakonkan semua gaya percakapan dan
gerak gaya Inara ketika itu.
Emira terus ketawa.
“ Boleh pulak kau gelak? Kenapa kau
tak cakap yang Inara tu adik kembar kau, muka sebijik macam kau cuma perangai
dengan personaliti saja lain. Kat mulut asyik cakap Inara tu adik saja bukannya
kembar. Kalau awal-awal lagi kau cerita kat aku, Inara tu sebenarnya kembar
kau, tak la aku ni rasa malu masa tu.” Marah Kausar. Tak sangka selama lima
tahun menjadi teman serumah, Emira tidak menjelaskan hal sebenar tentang Inara.
Terkejut jugak masa Emira beritahu yang Inara adalah adik kembar seiras.
“ Eh, memang Inara tu adik aku. Dia
lahir lewat 3 minit dari aku. Kiranya Inara tu adik kan!” jawab Emira. Dia
menyambung semula makan.
“Banyak la kau punya adik! Makan
cepat, tengah suam-suam mesti sedap.” Kata Kausar. Dia mengambil satay daging
yang ada di depan matanya.
Sambil mengunyah, Emira tersenyum
melihat gelagat Kausar makan. Bukan senang nak dapat teman serumah yang baik
dan sekepala macam Kausar.
No comments:
Post a Comment