Bab
2
Enam
bulan kemudian ……
Langkah Emira terhenti dan pandangan
dia beralih ke arah peti surat di pagar rumahnya. Hari ini dia ada temujanji
dengan supervisor dia di Universiti Malaya.
Poskad diambil keluar. Dahi Emira
berkerut membaca poskad itu. Pengirim poskad ini masih tidak berputus asa
menghantar poskad ini. Dalam seminggu, dia akan menerima poskad ini walaupun
sudah enam bulan berlalu.
“Please contact me, Arfa Emira! I
miss you so much.” Baca Emira. Kemudian dia mengeluh kuat.
“Aduh! Susah sangat ke nak faham,
kalau orang tak balas tu, maknanya something wrong!” Emira mengetap bibir.
Kenapa benda yang tiada kena mengena ini menyusahkan hidup dia?
“Lantaklah! Bukan masalah aku pun.”
Kata Emira. Dia terus membuka bag galasnya dan memasukkan poskad itu ke dalam.
Topi keledar dipakai dengan segera. Dia terus naik motor Honda Vario dan
menghidupkan enjin motor. Dia bimbang jika terlewat berjumpa supervisor dia.
*********************************
Malam ini, Emira dan Kausar malas
keluar makan malam kerana di luar hujan lebat. Mereka berdua terus memasak
maggie untuk mengisi perut mereka berdua yang tengah lapar.
“Sedapnya makan maggie masa tengah
hujan macam ini.” Kata Emira.
“ Memang pun. Ada telur dengan
sayur, itu dah cukup sedap.” Kausar menyokong kata-kata Emira.
Mereka berdua makan dengan penuh
berselera.
“Aaa… Poskad tu sampai lagi hari
ini.” Beritahu Emira.
“Laaa…. Kasihan pulak aku kat mamat
tu. Apa kata kau balas saja poskad tu cakap kata tersalah alamat.” Kausar
memberi cadangan.
Emira mengeluh kuat. Dia malas
sebenarnya.
“ Kau tulis ringkas saja, wrong
address, habis cerita! Setakat hantar poskad ke Kanada, rasanya tak mahal
sangat kot, anggap saja kau buat kebajikan. Takkan kau tak rasa kasihan kat
mamat. Orang tengah mengharap kot.” Pujuk Kausar.
“Nanti aku fikir dulu! Kepala aku
tengah serabut fikirkan thesis aku. Aaa… Hujung minggu ni aku balik rumah
parents aku kat Putrajaya.”
“Bukan ke baru-baru ini parents kau
datang rumah kan?” Kausar teringat kedatangan Tuan Daim dan Puan Izzah ke rumah
pada dua bulan lepas. Semasa itu dia balik kampung dan tidak berjumpa dengan
mereka berdua.
“ Hmm…. Datang nak tengok aku tapi
abah aku sengaja nak sakitkan hati aku. Nampak aku saja, ada benda nak komen.
Aku dah cakap kat Umi, datang seorang saja, tak payah bagi abah ikut tapi Umi
cakap, abah yang nak ikut. Nasib baik aku ni penyabar!” jawab Emira. Kausar
pernah bertemu dengan ibunya saja. Itu pun sebab ibunya datang sebab mahu
memasak untuk mereka berdua.
“Adik kau nak kahwin bulan depan
kan?” tanya Kausar lagi.
“Ya. Sebab itu hujung minggu ni ada
makan-makan. Sorry la aku tak dapat nak jemput kau sebab bukan aku yang nak
kahwin.”
“Tak nak la aku pergi kenduri adik
kau.” Kausar menggelengkan kepala dengan laju.
Emira tersenyum melihat gelagat
Kausar. Ikutkan hati dia malas nak pergi tetapi apa pulak kata saudara mara dia
nanti. Lagipun ibunya memujuk dia balik sebab mahu mencuba baju kurung yang
ditempah ibunya untuk hari nikah, hari persandingan dan jugak kenduri kahwin
pihak lelaki. Jadi terpaksa jugak dia balik ke Putrajaya.
No comments:
Post a Comment