Tuesday, August 16, 2022

Trip Ke Kelantan (May 2022)

 

Trip To Kelantan

               Plan ke Kota Bharu dibuat last minute oleh adik saya selepas dua tahun. Maklum la sepanjang pkp memang duduk di rumah saja. First time kami pergi Kota Bharu sendiri. Iyalah dulu kami pergi dengan mak ayah. Sekarang dah besar panjang, nak pergi mana pergi la sendiri. Hahaha …. Trip kali ini disertai mak saudara dan sepupu. Kebetulan ada seorang sepupu yang bekerja di Kota Bharu. Dia akan join kami di sana.

               Seawal pagi kami bertolak ke Kota Bharu. Perjalanan ke sana memang mencabar. Mujurlah cuaca cerah sehingga kami tiba di sana. Sebelum tengahhari kami sudah sampai di Kota Bharu. Sepupu kami sudah pun tunggu maklum la rumah sewa dia dekat saja dengan tempat penginapan kami. Disebabkan kami sampai terlalu awal, tak boleh nak check in dulu. Destinasi seterusnya dah tentu tempat makan.

               Kami pergi makan kat Warung Pak Mat Pulau Pisang. Ramai orang masa itu sebab dah time lunch. Kami minum teh tarik madu dan nasi putih dengan sup daging. Memang sedap. Sup ikan kami tak cuba pun.  Lapar sangat sampai terlupa nak ambil gambar. Ha ha ha .....Selepas itu kami pergi Pasar Siti Khatijah dan Bazar Buluh Kubu.  Jalan-jalan dan window shopping. Penat jugak la jalan. Beli barang yang orang pesan dulu.

               Bila dapat saja check in, semua terus terlentang. Melekat kat sofa dengan katil. Selepas ini kami tak ada plan ke mana-mana selain nak makan malam. Plan seterusnya nak makan kat SIAM tetapi apabila kami tiba kat sana, memang ramai giler orang. Tempat parking jangan harap la nak ada kosong so jadi kami plan makan kat tempat lain. Nampak saja kedai makan, kami berhenti makan. Terus melantak sampai kenyang.

               Keesokkannya awal-awal pagi kami bangun awal sebab nak breakfast kat Kopitiam Kita. Kata sepupu, kena pergi awal sebab ramai orang. Pukul 7 lebih kami dah sampai, memang terkejut bila ada orang yang lebih awal dari kami. Mata ni macam helang mencari meja kosong. Mujur la ada kosong. Special kat sini roti Titab. Sudah tentu kami oder, jauh kami datang. Roti Titab ni roti bakar yang atasnya ada telur separuh masak dan kaya. Memang sedap! Lain dari yang lain. Servis juga cepat! Jangan bimbang ada makanan lain jugak yang disediakan di situ. Sepantas kilat kami makan sebab nak bagi peluang kat orang lain pula. Memang terkejut bila lihat orang beratur panjang di luar kedai.


Roti Titab, wajib try


               Next, kami pergi ke Kawasan Bebas Cukai Pangkalan Kubor. Perjalanan ke sana dekat saja dengan Kota Bharu. Disebabkan kami sampai awal, semua kedai tak buka lagi. Hahahaha …. Banyak parking kosong, kami parking kereta depan kedai! Kan senang! Cuaca redup tapi panas tetap terasa walaupun awal pagi. Kami pun jalan-jalan dulu. Nampak saja kedai buka, kami terus terjah. Sini ada jual coklat jugak macam kat Langkawi. Macam kat Padang Besar pun ada. Memang murah, kami borong sampai tak ingat dunia. Barang-barang sini ada jugak murah, kena pandai nego. Nak dekat dua jam kami kat situ. Orang semakin ramai, sekelip mata parking penuh.

Pantai Senok

Cantik kan ...

Berbaloi singgah

Jeng-jeng .. Tu dia pantai ,,,,


               Destinasi seterusnya ialah Pantai Senok. Memang tak pernah sampai sebelum ini. Orang kata Pantai Senok ala-ala kat Nami Island. Nak pergi sana kena ikut jalan kampung, memang jalan kecil. Kalau selisih kereta, kena la bertolak ansur. Sampai saja kat situ, terus wow! Pokok-pokok ru memang tinggi dan tersusun. Suasana redup dan berangin. Pemandangan yang unik dan luar biasa. Walaupun tengahhari, sudah ramai orang. Jangan risau tempat parking ada banyak. Siapa yang suka bergambar pasti suka datang ke sini. Ada juga orang picnic dan bermain wau. Kalau lapar ada gerai kat sini, boleh la minum air kelapa dan makan keropok lekor.  Kami makan ringan-ringan saja sebab nak pergi SIAM pula.

Setakat nak lapik perut saja


               Kami singgah sekali lagi di Pasar Siti Khatijah. Beli tudung, kain batik dan kain pelikat! Sejam jugak la kat sini. Selesai membeli, kami ke SIAM untuk makan. Maklum la malam tadi, kami tak dapat nak makan. Mujur la bila kami sampai pukul 3 petang, dia orang baru saja buka. Alhamdulillah, memang rezeki kami sebab tak ada orang. Kat sini, tempat parking memang banyak. Kami parking depan kedai. SIAM atau restoran ikan bakar & thai street food memang popular kat Kota Bharu. Kat sini konsepnya ala food court. Hidangan Thai memang enak, tak payah susah-susah nak pergi Bangkok. Kawasaan luas dan banyak meja makan. Kami try makan ikan talapia bakar garam. Mula-mula tu memang teragak-agak nak makan, mana taknya atas ikan itu penuh dengan garam. Beranikan diri try, tak sangka sedap. Tak masin pun. Habis tinggal tulang ikan talapia tu. Hahaha… Kami try jugak daging harimau manis, tom yam dan mangga pulut. Ternyata sedap. Sebenarnya ada banyak lagi makanan, jangan risau. Rasa nak makan, terus saja oder, jangan teragak-agak. Servis pun cepat. Lama jugak kami melantak kat sini. Sebelum balik kami oder nasi goreng untuk take away. Sudah malas nak keluar dinner sebab esoknya awal-awal pagi kami bertolak balik. Nasi goreng pun sedap jugak. Wajib singgah SIAM kalau jalan-jalan kat Kota Bharu.

SIAM

Ikan Talapia Bakar Garam

Rugi Kalau Tak Singgah


               Tamat sudah trip kami ke Kelantan selama tiga hari dua malam. Seterusnya trip kami ke Kuching, Sarawak.

              

              

Tuesday, August 9, 2022

PA Aku Ratu Sejuk Beku Bab 5

 

Bab 5

 

            USAI sembahyang Subuh, Datin Ida mula mengemas katilnya sendiri. Walaupun dia ada orang gaji sendiri namun dia lebih selesa membuat kerja sendiri.

            Pintu bilik tidur dibuka secara tiba-tiba.

            Datin Ida mengurut dada kerana terkejut. Hampir nak gugur jantung ini. Tajam renungan Datin Ida ke arah Aziz.

            “Mummy! Aziz tak setuju! Keputusan mummy nak lantik Diana tu jadi PA Aziz, Aziz tetap tak setuju.” Aziz menerjah masuk ke dalam bilik tidur ibunya. Semalaman dia tak tidur semata-mata kerana fikirkan pasal Diana. Dengan rambut berserabut, Aziz bertentang mata dengan Datin Ida. PA! Diana nak jadi PA dia! Langkah mayat dia dulu. Sukar untuk dia membayangkan Diana yang dingin dan muka ketat itu ikut dia ke mana-mana. Takkan 24 jam nak hadap muka Diana tu. Nanti tak pasal-pasal dia yang jadi gila.

            “Aziz! You need Diana whether you like it or not! She’s a good PA. Trust me!”

            “Trust you? Really?”

            Datin Ida mengetap bibir apabila Aziz mengejek cakapnya.

            “Aziz! Diana akan jadi PA dan mentor hang. Diana tahu selok belok pasal AB Group. She will guide and teach you everything.” tegas Datin Ida. Dia yakin dengan keputusan dia. Apa yang dia buat ini terbaik untuk Aziz. Dia tahu, hari pertama Aziz jejakkan kaki di AB Group, Aziz akan jadi buruan.

            “ Aziz tak suka dia, mummy! Muka dia pun, Aziz meluat nak tengok. Inikan pula nak hadap hari-hari! Lagi stress tahu tak! Kalau Mummy nak Aziz kerja kat AB Group, mummy tukar orang lain jadi PA Aziz!” ugut Aziz. Apa-apa pun dia menentang keras pasal hal ini. Direnung wajah Datin Ida dengan serius.

            Datin Ida mendengus kuat.

            “Hang tak layak nak negotiate dengan mummy! Kali ini giliran hang ikut cakap mummy, Aziz! Hang kena ingat hang pewaris tunggal AB Group, itu dah jadi tanggungjawab hang ambil alih AB Group.”

            “Tak habis-habis cakap benda yang sama! Pewaris! Tak habis-habis dengan pewaris. Telinga ni dah tak larat nak dengar. Ini salah mummy dengan daddy! Patutnya mummy dengan daddy usaha lebih sikit supaya ada anak ramai. Dah jadi macam ni, semua benda nak letak kat kepala Aziz. It’s not fair for me!” Nada Aziz tinggi. Dia sudah hilang sabar. Tanpa buang masa, Aziz terus menapak keluar bilik ibunya dengan wajah bengang.

 

            “Aziz!” jerit Datin Ida begitu kuat sekali. Dia terkejut apabila Aziz cakap macam itu.

            “Budah bertuah ni! Dia salahkan kita pulak! Umur dah 30 tapi fikiran tak matang langsung!”   

            Datin Ida mencekak pinggang. Terasa bahang di wajahnya. Agaknya kalau badannya boleh mengeluarkan api, dah terbakar bilik ini dibuatnya. Perangai Aziz betul-betul menguji kesabaran.

                                    *********************************************

            PAGI-PAGI lagi, Aziz melangkah laju masuk ke ruang dapur. Tiba-tiba tekak rasa dahaga selepas bertikam lidah dengan ibunya.

            Aziz berhenti melangkah.

            Mak Eton dan Diana ada di situ.

            Bertambah masam wajah Aziz dengan kehadiran Diana.

            “Kat sini pun dia ada jugak! Menyampah betul!” Aziz bersuara.

            Mak Eton yang sedang basuh sayur sawi di sinki menoleh.

            “Aziz cakap apa tadi, Mak Eton tak dengaq!  Awai hang bangun ! Nak Mak Eton bancuh kopi ka?” Mak Eton bersuara. Aziz seperti cakap sesuatu tapi dia tak dengar tadi.

            “ Tak apa, Mak Eton. Aziz nak minum air masak ja.” jawab Aziz.

            Mata Aziz lihat ke arah Diana yang sedang mengupas kulit bawang merah di meja makan dapur tanpa pedulikan kehadiran Aziz di situ.

            Aziz menghampiri peti sejuk dan membawa keluar jug air sejuk. Dia sengaja letak jug air sejuk di atas meja dengan kuat.

            Ekor mata Mak Eton melihat ke arah Aziz dan Diana. Dia mula tak sedap hati. Apa la Aziz cuba buat itu? Tengok cara Aziz ,macam nak cari pasal dengan Diana saja!

            Aziz berjalan dan ambil mug dekat almari. Dia terus menarik kerusi dengan kasar agar tindakkannya menarik perhatian Diana.

            Manakala Diana buat tak tahu saja, dia tetap teruskan mengupas bawang merah untuk dibuat bawang goreng.

            Bibir Aziz digigit rapat apabila Diana tetap tak peduli kehadiran dia di hadapan Diana. Tercabar diri ini apabila Diana buat dek saja.

            Tiba-tiba Aziz mendapat idea.

            Dengan sengajanya, jug air dituang di atas meja. Air dari jug mengalir ke arah Diana. Habis basah tempat Diana duduk.

            Diana terus berhenti mengupas. Kini baju dan seluarnya habis basah. Dia melihat ke arah Aziz yang turut sama memandang ke arahnya.

            “Now I get your attention!” Aziz tersenyum sinis.

            “Ya Allah, Aziz! Apa hang buat ni?” kata Mak Eton. Dia terkejut melihat apa yang berlaku di depan mata.

            Pisau di tangan Diana digenggam erat.

            “ Awak yang plan semua ni kan! Awak cadang kat mummy supaya awak jadi PA saya kan! Kenapa? Awak seronok nak tengok saya terseksa kerja kat AB Group kan!” tuduh Aziz.

            “Grow up and stop being childish!” Diana bersuara. Renungan tajam tepat pada Aziz.

            “Apa!”

            Diana terus bangun. Dia melihat lantai turut sama basah dengan air. Sepantas kilat mata Diana bergerak merenung Aziz semula.

            “ Tak habis-habis nak menyalak bila ada benda tak kena!” tambah Diana lagi.

            “Aaaa…. Apa! Menyalak! Awak kata saya anjing?” Bulat terus mata Aziz. Rasa tak percaya dengan kata-kata yang keluar dari mulut Diana. Terus berdesing telinga ini dengar. Dia turut sama bangun.

            “ Rasanya anjing jauh lebih baik dari you. Sekurang-kurangnya anjing setia dan hargai orang yang bagi makan minum dan tempat tinggal kat dia. Tak macam you, sikit pun tak hargai dan berterima kasih kat Auntie Ida yang besarkan you. Dah besar panjang tapi otak sikit pun tak guna. Tak ada guna pun belajar sampai graduate universiti kalau dengan mak sendiri pun nak berkira. Salah ke kalau you sebagai anak berkorban demi mak you sendiri? Dah bertahun-tahun Auntie Ida berkorban demi you, you tak nampak ke? Atau you jenis anak yang tak ada hati perut langsung!”

            Aziz terdiam apabila kata-kata dari Diana itu bagaikan tamparan hebat di mukanya.

            “ Air ni , you yang tumpah kan! So you better lap semua ni sebelum I datang balik. Kalau tak, tahulah nasib you nanti!” Diana memberi amaran. Pisau yang ada di tangannya tadi, ditikam kuat di meja makan kayu itu. Dia terus berlalu pergi. Gara-gara perangai Aziz tadi, dia terpaksa tukar baju lain.

            Tubuh Aziz masih kaku. Dalam masa yang sama, dia terkejut lihat pisau yang tercacak di atas meja makan. Ditelan air liur, terus rasa kelat.

            “Baik hang lap cepat-cepat sebelum Diana turun. Nanti tak pasal-pasal pisau tu tercacak atas kepala hang pulak!” kata Mak Eton. Dia cuba menahan diri dari ketawa. Mana taknya, kini wajah Aziz terus pucat lesi. Mula-mula tadi bukan main berani lagi bagaikan Raja Rimba, sekarang ni terus bertukar jadi tikus. Mak Eton menyambung semula kerjanya. Tak sabar nak cerita apa yang berlaku tadi pada Datin Ida.

            Tanpa buang masa, Aziz segera mencapai kain lap. Meremang bulu roma apabila tengok pisau itu sekali lagi. Dia perlu cepat-cepat lap sebelum Diana turun.

                                                            ***********************

            DULANG yang siap dengan sarapan pagi dihulurkan pada Azhar.

            “Nah! Ambil ni! Bawa kat bilik Aziz!” kata Mak Eton.

            “Takkan la Abang Aziz tak nak turun makan langsung.” kata Azhar. Masa sarapan pagi, Azhar tak join mereka semua di dapur. Hanya Datin Ida dan Diana saja yang makan sama-sama. Lagipun maknya dah cerita apa yang terjadi pagi tadi.

            “ Lepas apa dah jadi tadi, mesti Aziz tu dah fobia nak masuk dapuq. Itulah cari pasal tak kena gaya. Nak sembuq orang, last-last orang yang dia nak sembuq itu bukan dalam kategori singa tapi naga. Berapi! Nasib baik pisau tu tercacak kat meja, kalau terpacak kat tempat lain. Naya jadinya!”

            Azhar menggelengkan kepala apabila mengingatkan perangai Aziz.

            “Dah! Pi cepat hantaq breakfast. Dah pukul 9 lebih, mesti Aziz lapaq.” kata Mak Eton. Sempat lagi ekor mata melihat ke arah jam dinding di dapur.

            Azhar bergegas memanjat anak tangga.

            Pintu bilik diketuk sebaik saja tiba di depan pintu bilik tidur Aziz.

            “Abang Aziz! Azhar ni! Boleh Azhar masuk? Azhar bawak breakfast ni.” kata Azhar di sebalik pintu.

            Suasana sunyi sepi.

            Azhar rasa pelik.

            “Abang Aziz! Abang Aziz tidur ka?” panggil Azhar lagi.

            “Aku dah kenyang!”

            Azhar tersenyum apabila dengar suara Aziz. Ini mesti kes merajuk!

            “Dah kenyang makan apa? Takkan makan hati kut!” kata Azhar lagi. Dia cuba tahan ketawa. Tak sangka dah besar panjang, Aziz tetap kuat merajuk lagi. Tetap tak berubah.

            “Buka la pintu ini. Mak masak bihun goreng ini. Sedap. Mak letak udang banyak kat pinggan bihun goreng ini. Alaaa…. buka la pintu ini. Atau Abang Aziz nak Kak Diana bawa breakfast kat Abang Aziz.” Azhar sengaja memetik nama Diana.

            Tiba-tiba saja pintu bilik terbuka.

            Aziz berdiri di muka pintu dengan wajah masam.

            “Azhar ni kannnn…..” Aziz mengetap bibir seraya mata berlari ke arah bilik Diana yang bertentangan dengannya. Pandai betul Azhar ugut dia dengan nama itu. Dia memang menyampah dengar. Nak sebut huruf D pun, dia tak nak.

            Azhar tersengih. Dia menunjukkan dulang berisi sarapan pagi yang ada di tangannya. Dia sedar Aziz melihat ke arah bilik Diana.

            “Kak Diana tak ada. Dia pi memanah. Selalunya pagi Ahad dia pi memanah.” beritahu Azhar.

            “Aku tak tanya pasal dia la.” Wajah Aziz berubah. Dia terus berjalan ke sofa bilik. Dia terus duduk. Wajah masih kelat. Ishhh…. Azhar ni, tahu-tahu ja. Confirm Mak Eton dah cerita apa yang terjadi pagi tadi.

            Azhar tersenyum. Dia terus bagi dulang itu pada Aziz.

            “Makan! Mesti Abang Aziz dah lapar. Lagi satu! Ini dompet dan phone Abang Aziz, Kak Diana suruh bagi balik. Patutnya Azhar bagi petang semalam tapi terlupa nak bagi. Keluar dating terus lupa nak bagi. Sorry! ” Aziz tersengih. Dompet dan phone dihulurkan pada Aziz. Kerana keluar dating dengan Mawar, dia terus lupa nak bagi.

            Mata Aziz terus bercahaya. Cepat-cepat dia ambil dan belek . Memang betul dia punya.

            “Laptop! Camera! Mana?” tanya Aziz. Kenapa hanya dompet dengan phone saja? Mana barang-barang milik dia yang lain?

            “ Abang Aziz ni, dah dapat phone dengan dompet, patutnya Abang Aziz dah bersyukur. Lepas apa dah jadi kat dapur tadi, rasa-rasa Kak Diana nak bagi ka yang lain-lain?”

            Wajah Aziz terus berubah. Cakap Azhar ada betulnya! Jangan harap la laptop dan kamera nak dapat balik! Dia masih belum lupa di saat Diana tikam meja makan dengan pisau. Berderau darah dia. Ketar lutut pun ada.

            “Makanlah cepat! Nanti sejuk tak sedap.”

            Tanpa buang masa, Aziz menjamu selera. Perut yang tadi kosong kini sudah kenyang. Maklumlah dah isi minyak, mood terus berubah.

            “Alhamdulillah! Kenyang!” kata Aziz. Perut digosok beberapa kali.

            “ Aaa…. Tengahhari nanti kita keluaq makan sebab mak ayah dengan mak cik Ida pi makan kenduri. Kita pi makan kat nasi kandar beratur, nak tak? Mesti dah lama abang Aziz teringin makan kat situ.” Ajak Azhar.

            “Boleh! Boleh! Dah lama aku tak makan. Azhar cakap macam tu air liur aku ni. Ayam berempah dengan sayur bendi lepas tu banjir dengan kuah kari. Aduh, gerenti berselera. Lepas tu kita makan Mee Sotong Hameed Pata. Ditambah pulak dengan coconut shake, confirm lepas makan aku termimpi-mimpi malam ini” kata Aziz dengan wajah berubah berseri-seri. Seronok apabila dapat keluar.

            Azhar tersenyum. Nak bagi Aziz happy senang saja. Ajak keluar, ajak makan, terus settle. Serta merta mood Aziz akan berubah.

Friday, July 29, 2022

PA Aku Medusa Bab 4 a.k.a PA Aku Ratu Sejuk Beku

 

Bab 4

 

            HIDUNG Aziz mula bergerak. Terbau sesuatu yang sedap yang datangnya dari arah ruang dapur. Aziz yang baru saja bangun dari tidur percepatkan langkahnya menuruni anak tangga. Laju saja kakinya masuk ke situ.

            “Wow! Nasi lemak! Memang kegemaran Aziz ni!” Aziz muncul dengan rambut serabut. Nampak sangat baru lepas bangun tidur.

            “ Mak Eton masak sambal kerang kegemaran hang! Hang kan suka makan nasi lemak dengan sambal kerang kan?” Mak Eton tersengih seraya mengangkat pinggan yang berisi ikan bilis yang sudah siap digoreng.

            Datin Ida yang sedang mengupas kulit telur yang baru selepas direbus hanya mampu geleng kepala tengok anak terunanya itu. Dengan seluar pendek dan singlet putih, Aziz selamba saja masuk ke ruang dapur.

            “Good morning, mummy!” tegur Aziz. Ditarik kerusi dan terus duduk di sebelah ibunya.

            “Ni dah basuh muka ka belum? Gigi tu confirm tak gosok lagi kan! Eee…. hang ni tak senonoh betui! Mandi la dulu sebelum makan! Orang tengok hang, terus tak ada selera nak makan! !” Datin Ida mula membebel pasal penampilan Aziz.

            “Amboi! Amboi! Mummy ni, cakap ikut sedap mulut! Kita kat rumah! Nak melawa buat apa? Ini bukan first time Aziz macam ni! Mak Eton dengan Azhar dah bertahun-tahun tengok Aziz macam ni! Tak kisah pun! Betul tak, Azhar?”

            Azhar yang sedang menyiapkan minuman ketawa kecil.

            “Eeee… Hang ni! Masalah sekarang ni ada anak dara dalam rumah ini! Agak-agak la nak pakai macam ni depan Diana nanti! Malu tahu tak?”

            “Ada Aziz kisah!” jawab Aziz.

            Datin Ida mengetap bibir. Boleh naik darah setiap kali bercakap dengan Aziz. Air muka Datin Ida berubah apabila Diana masuk ke ruang dapur. Dimaniskan wajahnya.

            “Diana dah nak keluar ke?” tanya Datin Ida.

            “Ya. Dah janji dengan Puan Sri Zaiton pukul 9 pagi, auntie!” Diana menjawab. Dia berpakaian t-shirt polo dan seluar panjang untuk main golf dengan Puan Sri Zaiton pagi ini.

            Aziz membuat muka menyampah melihat Diana bercakap dengan ibunya.

            “Kak Diana! Jus Kak Diana dah siap!” kata Azhar. Dia berjalan dekati Diana dengan bawa gelas air berwarna merah itu. Minuman kegemaran Diana setiap pagi.

            Aziz cepat-cepat bangun dan merampas gelas itu. Diteguk dengan rakus. Sebaik saja telan, mula Aziz terus berubah dengan dahi berkerut.

            “Air apa ni? Ini bukan jus tembikai. Rasa tak sedap langsung.” tanya Aziz. Dipandang ke arah Azhar. Meremang tekak dia sekarang ini. Tak tahu macam mana nak gambarkan rasanya. Rasa yang pertama kali dia rasa.

            “Jus paprika!” jawab Azhar.

            “Apa!” Nada suara Aziz terus tinggi.

            Datin Ida dan Mak Eton terus ketawa terbahak-bahak.

            “Yang Abang Aziz ambil buat apa? Jus ni untuk Kak Diana la.” Azhar bersuara.

            Aziz terus berjalan ke sinki dan mengumur mulutnya. Dengan harapan, rasa itu hilang. Memang tak sedap langsung. Mati-mati ingat tadi jus tembikai, kalaulah dia tahu jus paprika, jangan harap la dia nak minum.

            “Itu la balasan orang kata, nak sangat ambil minuman orang. Rasakan!” kata Datin Ida seraya masih tak berhenti ketawa. Geli hati dengan perangai anak bujangnya itu. Perangai macam budak-budak.

            Wajah Aziz masam. Dia renung ke arah Diana yang wajahnya masih bersahaja. Tak tunjuk apa-apa reaksi pun. Muka macam tu la buat dia rasa annoying.

            “Sat na Kak Diana, Aziz blender lain jus paprika tu!” kata Azhar.

            “It’s okey, Azhar! Kak Diana dah nak kena gerak. Esok saja blend lain.” jawab Diana. Dia melihat semula ke arah Datin Ida dan Mak Eton.

            “Auntie! Mak Eton! Saya gerak dulu!” beritahu Diana sebelum bergerak keluar dari dapur malah dalam yang sama, sekilas pandang dia melihatAziz.

            “Mummy tengok! Muka Diana tu annoying giler!” Aziz mengadu.

            “Perangai hang tu lagi annoying! Baik hang naik atas, mandi dulu. Busuk tahu dak? Kalau tak, jangan harap nak breakfast!” Datin Ida memberi arahan.

            Aziz mengetap bibir. Ibu dia nampak sangat lebih-lebihkan Diana. Tak boleh jadi ni! Wajah Aziz benar-benar jelas nampak wajah tak puas hati.

                                                ******************************

            ANAK mata Aziz bergerak ke arah kerusi kosong yang berhadapan dengannya. Selalunya Diana akan duduk di situ. Takkan la tak balik lagi main golf. Dah tengahhari kot.

            Tiba-tiba ada bunyi orang berdehem memecah kesunyian di ruang makan.

            Mata Aziz bertaut dengan mata ibunya.

            “Tunggu apa lagi? Baca la doa makan!"

            Aziz terus menadah tangan. Dia membaca doa makan dan kemudian mula menjamu selera dengan ibunya. Sedap betul nasi ayam hasil tangan Mak Eton. Ayam, sambal dan sup memang meletup pong pang pong pang! Rasanya perfect, kena dengan selera dia. Berkali-kali dia tambah nasi, ayam ni dah berketul-ketul dia makan. Pinggan pun dah licin. Sebutir nasi pun tak ada.

            “Hang ni gelojoh betul! Tak ada sapa nak rebut makanan hang pun.” Datin Ida bersuara. Sakan betul anak teruna dia makan, macam orang seminggu tak makan pun ada.

            “Sedap, mummy! Nasi ayam Mak Eton memang the best.  Mummy patut belajar dengan Mak Eton. Skill memasak mummy dengan Mak Eton, macam langit dengan bumi. Seingat Aziz la, makanan yang mummy masak tak ada satu pun yang sedap.”

            Mulut Datin Ida terus herot. Macam nak cili-cili mulut Aziz sekarang ini. Bab mengata ibu sendiri memang nombor satu. Patut la orang cakap, anak ni bila dah besar panjang, memang tak guna sesen pun.

            “ Hari Isnin ni hang dah start kerja.” beritahu Datin Ida secara tiba-tiba.

            “Apa! Isnin ni?” Wajah Aziz terkejut beruk.

            “Ya. Lusa hang dah start kerja kat AB Group.”

            “Mummy, Aziz baru balik.  Takkan dah suruh keja kot, bagi la Aziz rest dulu.” Aziz membantah. Dia tak setuju langsung.

            “Rest! Hang nak rest berapa lama lagi? Tempoh rest hang dah tamat. Hang jangan lupa, suka atau tak ,hang kena tunaikan janji hang. Mummy dah tunaikan janji mummy nak bagi hang jadi travel blogger selama tiga tahun tapi hang ambil kesempatan kebaikkan mummy ni. Geram betul hati mummy ni bila ingatkan hari mummy tunggu hang balik kat aiport Penang tahun lepas.” Datin Ida mula mengungkit apa yang terjadi tahun lepas. Tak sangka dia kena tipu dengan anak sendiri.

Selepas itu, Aziz hilang tanpa khabar berita. Tak call! Tak mesej! Datin Ida sudah hilang sabar untuk menunggu lagi, Datin Ida arahkan Diana mula mencari Aziz. Tak kisah di mana pelusuk negara di dunia Aziz menyorok, Aziz akan dijejaki sampai jumpa. Satu hari, Diana berjaya mengesan Aziz. Tak sangka pula Aziz berada di Pulan Aman, dekat sangat dah tu! Peluang sebegitu mustahil akan lepaskan. Apa-apa pun alasan Aziz, dia takkan beri muka dan bertolak ansur lagi. Suka atau tak, Aziz tetap kena kerja di AB Group.

            Aziz terdiam. Bab itu memang dia yang bersalah. Mungkir janji!

            “Janji tetap janji, Aziz!” tegas Datin Ida. Dia terus menyambung makan tengahhari.

            Mulut Aziz terus muncung. Nampak sangat macam tak ada peluang untuk talian hayat. Dalam hati Aziz mengeluh kecewa.

 

                                    *********************************************

            SUDAH setengah jam, Aziz duduk mengambil angin di tingkat satu balkoni. Mulut Aziz masih muncung seperti itik. Apa yang ibunya cakapkan tadi masih jelas kedengaran di telinga. Dia melihat ke arah cuaca yang kini bertukar mendung walaupun baru pukul 3 petang. Awan hitam mula berarak manakala angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Bila-bila masa saja hujan akan turun. Bagus jugak hujan turun, sekurang-kurangnya sejuk hati ini.

            “Dah la tu, hodoh bila buat mulut itik macam tu!” Azhar menyapa. Dia terus duduk di kerusi besi di sebelah Aziz.

            “ Otak aku tengah berserabut. Aku tak faham la kenapa mummy suka sangat paksa aku.” Aziz mengadu. Masih tidak puas hati dengan arahan ibunya.

            “Mungkin ada sebab kenapa Mak Cik Ida buat macam tu. Mungkin Mak Cik Ida perlukan Abang Aziz kat ofis.”

            “Ya lah tu! Mesti suka tengok aku seksa bekerja kat situ.”

            Azhar terdiam. Sebenarnya dia tahu sebabnya. Kalau dia cerita pun, mustahil Aziz akan percaya. Lebih baik Aziz nampak sendiri apa yang berlaku di syarikat nanti.

            Bunyi pintu pagar utama bergerak menarik perhatian mereka berdua. Kereta Honda HRV berwarna merah masuk dan parkir di garaj kereta. Diana keluar dari perut kereta.

            “Itu seorang lagi makhluk buat aku menyampah. Berlagak nak mampus.” Aziz bersuara. Dia memang meluat betul dengan Diana.

            “Abang Aziz tak baik cakap macam tu. Abang Aziz tak kenal Kak Diana lagi. Kak Diana baik. Percayalah!”

            “Azhar ni tak habis cakap Diana tu baik! Kalau dia baik, dia dah pulangkan balik barang-barang aku tu. Aaa…. Aku nak tahu Diana tu tak ada family ke? Takkan la dok merempat ka sini setiap hari.”

            “Hmm.. Tak tahu. Sebabnya, setiap kali hari raya Kak Diana beraya dengan kita semua. Balik kampung tu memang tak pernah langsung. Agaknya Kak Diana ni anak yatim piatu kut. Sebab itu mak cik Ida bawa Kak Diana tinggal kat sini.”

            Aziz terdiam selepas mendengar cerita Azhar. Pandangan Aziz tertarik ke arah Diana yang masuk semula ke dalam kereta selepas menukar pakaian.

            “Nak pergi mana pulak tu?” Aziz bersuara apabila kereta Honda HRV itu bergerak keluar dari perkarangan rumah. Baru balik lepas tu keluar lagi? Ingat rumah ni hotel ke? Aziz mengetap bibir.

            “Itu mesti Kak Diana pi kelas bahasa Jepun.” jawab Azhar. Dia sudah hafal aktiviti Diana sepanjang hujung minggu.

            “Apa!”

            “Kak Diana tu boleh cakap 6 bahasa. English! BM! Thai !Mandarin! Korea! Tamil ! Bahasa jepun tu dari start belajar bulan lepas. Esok pulak Kak Diana ada kelas Bahasa Jerman.”

            “Buat apa dia belajar semua tu? Nak jadi translator ke?” Dahi Aziz berkerut.

            “Ala… Tak salah kan kalau berminat! Tak semestinya nak jadi translator baru belajar semua itu.”

            “Azhar ni… Kalau bab backing Diana tu memang nombor satu. Fan dia ka?”

            “Lebih kurang macam tu la….” kata Azhar diakhiri dengan ketawa.

            Aziz mendengus kuat   . Nampak sangat satu rumah ini sebelahkan Diana.

 

                                                ****************************

            MUK teh tarik yang sudah suam diangkat dan dibawa ke mulut. Sedapnya. Air teh tarik buatan Pak Atan memang berlemak berkrim. Kalah teh tarik mamak kat nasi kandar tu.

            “Skill Pak Atan buat teh tarik masih mantap! The best! Aziz bagi seratus bintang.” puji Aziz melambung-melambung.

            “Terima kasih. Apa orang puteh cakap, thank you so much and i love you too!” jawab Pak Atan diakhiri dengan ketawa. Loghat orang utara tetap ada.

            Semua orang yang ada di meja makan dapur ketawa terbahak-bahak lepas mendengarnya.

            “Pelik la abang cakap lagutu. Lingkup terus bahasa orang puteh.” Laju saja Mak Eton geleng kepala.

            Mereka berlima makan mi kari bersama-sama petang itu. Hujan lebat membuatkan mereka bertambah berselera. Maklumlah cuaca sejuk seperti ini kalau makan makanan berkuah memang ada kick.

            “ Rasa macam hujan dah nak berhenti.” Mak Eton bersuara. Dia melihat ke arah pintu dapur yang terbuka. Sudah sejam hujan lebat, sekarang ni hujan mula renyai-renyai.

            “Baguslah kalau dah berhenti, kalau hujan sampai ke malam, bermasalah jugak.” balas Datin Ida yang duduk berhadapan dengan Mak Eton.

            Pak Atan dan Azhar hanya pandang antara satu sama lain.

            “Kenapa nak bermasalah pulak? Kalau hujan sampai malam, itu dah besar rahmat. Tidur masa hujan kan best! Rasa rileks! Tidur enak dibuai mimpi. Sejuk pulak tu. Confirm tidur sampai ke pagi.” Aziz menyampuk. Dia paling suka kalau hujan malam.

            “Hang tu tak tau apa-apa, baik hang diam. Orang tua-tua tengah cakap, boleh pulak dia menyampuk.” bidas Datin Ida. Sempat lagi menjeling.

            “Cakap sikit pun nak marah!” Aziz melawan.

            Diana muncul di ruang dapur.

            Suasana terus sunyi sepi.

            “Diana baru balik ke?” tanya Datin Ida.

            Diana hanya mengangguk kepala. Dia berjalan ke peti ais dan terus ambil botol air mineral di dalamnya.

            “Diana nak makan ka? Mak Eton masak mi kari petang ni.” Giliran Mak Eton bersuara pulak.

            Soalan Mak Eton dijawab dengan hanya gelengan kepala. Dia terus berjalan keluar ruang dapur.

            “Wah! Dalam mulut tu ada emas ke? Susah sangat ke nak jawab.” Tinggi terus suara Aziz. Sakit hati tengok apabila melihat perangai Diana tadi. Kecik besar kecik besar tengok! Orang tanya sebab ambil berat. Boleh pulak Diana tu angguk kepala macam tu saja. Dia yang menyaksikan apa yang berlaku pulak yang rasa panas hati.

            “Ishh… budak ni! Itu cara Diana interaksi dengan orang. Hang jangan cari pasal dengan Diana. Mummy bagi warning. Diana akan jadi PA hang nanti. Perangai tu jaga sikit!”

            “What!” Aziz rasa tak percaya dengan berita yang dia dengar dari mulut ibunya. Hilang terus selera dia nak makan mi kari.

 

 

CERPEN : CINTA SEHALA (KARYASENI)

  𝐊𝐎𝐌𝐏𝐈𝐋𝐀𝐒𝐈 𝐂𝐄𝐑𝐏𝐄𝐍 - 𝐍𝐎𝐒𝐓𝐀𝐋𝐆𝐈𝐀 - 𝐘𝐚𝐧𝐠 𝐭𝐞𝐫𝐬𝐢𝐦𝐩𝐚𝐧 𝐝𝐚𝐥𝐚𝐦 𝐡𝐞𝐥𝐚𝐢𝐚𝐧 . Kami kumpulkan kary...