Sunday, October 16, 2011

Siapa Orang Gajiku? Bab 11

BAB 11

            Aina mengurut kakinya. Inilah akibat mengikut Haikal membeli belah. Seluruh kedai di pusat membeli belah dimasuki oleh Haikal. Ada saja barang yang dibelinya. Aku ni dijadikan sebagai mesin pengangkut. Membawa barang yang dibelinya dan mengekorinya  dari belakang. Ahhh…ikut hati, mahu saja aku lempar beg-beg itu tetapi aku ni baik hati. Bertolak-ansur. Perlahan-lahan tangan Aina mengurut kaki kanan yang masih sakit. Dah putus ke urat kaki aku?
            “Sakit sangat ke?” tegur Tengku Fauziah. Kasihan dia tengok Aina. Sepanjang hari Haikal membawa Aina keluar. Dia yakin haikal ingin membalas balik apa yang Aina pernah lakukan pada dirinya. Apa ni jadi dengan Si Haikal tu?
            Aina terkejut. Dia segera bangun. “Mak Engku!” Mata Aina meliar ke kiri dan kanan. Walaupun dia berada di dalam bilik namun dia mesti berjaga-jaga dengan tutur bahasanya.
            “Duduk! Jika Aina nak cuti, nenek boleh berikan cuti untuk Aina berehat.”
            “Sikit saja, nenek! Esok dah ok. Dah lama tak exercise, beginilah akibatnya.” Aina ketawa. Dia kembali duduk di atas katil miliknya. Dia tidak dapat berdiri lama.
            Tengku Fauziah hanya mampu tersenyum. Hatinya tenang setiap kali mendengar gelak tawa wanita muda ini. Dia duduk di sebelah wanita itu.
            “Aina tahu sebab nenek datang ke sini. Ada tugas untuk Aina kan!”
            “Ya.”
            “Aina dah tahu tugasnya. Nenek nak Aina cari jalan untuk Haikal kembali bekerja di hotel kan?”
            Tengku Fauziah menganggukkan kepalanya. Aina memang bijak. Dia dapat membaca rentak pemikiran aku.
            “Itu semua ditanggung beres. Aina akan pastikan Haikal bekerja. Selepas ini giliran nenek pula berehat.”  
            “Aina dah ada plan ke?”
            “Kenapa nenek? Nenek ada masalah ke? Seperti ada sesuatu yang mengganggu fikiran nenek.” Aina sedar ada sesuatu yang tak kena mengenai Tengku Fauziah. Aina merenung Tengku Fauziah.
            Tengku Fauziah mengeluh. Dia tak tahu sama ada dia perlu memberitahu Aina mengenai hal ini. Berita yang diterimanya sebentar membuat dia bimbang.
            Ada apa nenek?” pujuk Aina dengan lembut.
            “Mungkin Sofea akan kembali ke sini.”
            “Sofea!”
            “Bekas tunang Haikal.”
            “Ya, Sofea! Baguslah nenek jika Sofea balik. Bukankah itu yang ditunggu oleh Haikal selama ini?” Aina tersenyum. Dia hairan. Nenek seperti kurang senang dengan kepulangan Sofea. Mungkin kepulangan Sofea dapat mengubati perangai Haikal.
            “Tidak! Nenek takkan membenarkan mereka bersama semula. Perempuan seperti Sofea, tak layak menjadi sebahagian dari keluarga nenek. Perkara itu tidak mungkin akan berlaku.” Tegas Tengku Fauziah. Wajahnya serius. Tiada secalit senyuman di wajahnya.
            Mata Aina terkebil-kebil melihat Tengku Fauziah. Reaksi Tengku Fauziah membuat Aina terkejut. Apa yang Sofea  dah buat sehingga nenek marah seperti ini? Kenapa nenek tidak senang dengan kepulangan Sofea? Memanglah Sofea pernah memalukan keluarga nenek tetapi apa yang berlaku pasti bersebab. Dahi Aina berkerut. Di dalam hatinya, dia ingin berjumpa dengan wanita yang bernama Sofea itu.

                                    **************************************

            Aril merenung wanita memakai gaun merah yang sedang berdiri di hadapannya. Matanya merenung wanita itu.Wanita itu telah menghalang perjalanannya. Kenapa aku mesti berjumpa dengan wanita ini? Dalam banyak-banyak tempat, kenapa mesti aku berjumpa dengan wanita ini di sini? Bencinya pada wanita ini tidak pernah padam. Wanita yang telah merampas Tahir dari Kamalia. Jika Julia ada di sini, bermakna Tahir ada bersama. Aril mula rasa tak senang hati.
            “Dah 10 tahun kita tidak berjumpa, you masih tidak berubah, Aril!” Julia tersenyum. Dia melihat lelaki itu dari atas ke bawah. Masih kacak. Sejak di Universiti lagi, Aril menjadi buruan wanita. Setiap wanita mengimpikan untuk memiliki lelaki seperti Aril termasuklah dirinya. Wajahnya yang tampan, matanya yang bulat, hidung yang mancung dan bibirnya yang nipis membuat setiap wanita tergoda. Tinggi. Bertubuh sasa. Bergaya
            “Apa you nak lagi, Julia?”
            “Bertanya khabar! Salah ke?”
            “Lebih baik you tak perlu tahu.” Jawab Aril dengan dingin.
            “Sikap you masih tidak berubah! Sombong. Pilihan I memang tepat. Tahir lebih baik dari you.” Dulu dia pernah menyukai Aril tetapi cintanya ditolak. Maruahnya tercabar apabila Aril tidak menerimanya. Tiada mana-mana lelaki pernah menolak cintanya. Aku adalah wanita yang sempurna. Aku ada segala-galanya.
            “Ya ke! Congratulations.”
            Julia mengetap bibirnya menahan geram. Sikap Aril yang tidak endah membuat hatinya berasa panas. Dia masih melayan aku seperti ini. “Kamalia, apa khabar? Selepas I berkahwin dengan Tahir, I tak dengar apa-apa cerita tentang Kamalia. Dia dah kahwin ke? Did she already meet her prince charming? Atau Kamalia masih menunggu Tahir?”
            “Kenapa you nak tahu?”
            “sekadar suka-suka.” Julia tersenyum sinis.
            “You tak ada kerja lain ke? Lebih baik you jaga suami you baik-baik.”
            “Kenapa? Kamalia masih bertekad nak merampas Tahir dari I ke?” Mata Julia tepat memandang Aril. Nada suaranya sedikit bergetar.
            “You takut ke?”   Aril tersengih.
            “Aril!”
            Aril kaku. Ada seseorang menegur dirinya. Aril tidak berpaling. Jantungnya berdegup kencang. Dia kenal dengan pemilik suara itu. Suara yang tidak ingin didengarnya sepanjang hayatnya.
            “Abang!” Julia merengek manja. Air mukanya terus berubah dengan kehadiran Tahir. Dia terus merangkul pinggang Tahir. Dia mesti menunjukkan pada Aril yang mereka bahagia.
            “Aril!” Tahir sudah berada di hadapannya. Selepas kejadian hari itu, hubungan mereka berdua sudah tidak rapat lagi. Hubungan mereka dingin. Dia tidak salahkan Aril. Semuanya yang berlaku adalah kesalahannya sendiri. Tahir menghulurkan tangan untuk berjabat tangan. Dia ingin memulakan persahabatan mereka yang telah lama putus.
            “Aku kenal kau ke?” kata Aril dengan tiba-tiba. Renungan Aril pada Tahir seolah-olah ingin menelannya. Berani dia nak berbaik dengan aku? Dia ingat aku ni ada amnesia ke? Sudah lupa apa yang telah berlaku 11 tahun yang lalu.
            Julia menjeling pada Aril. Dahinya berkerut.
            “Aril! Aku……..”
            “Tuan!” Hayati mengatur langkah menghampiri Aril yang sedang berbual. Siapa mereka berdua ni? Selepas saja mesyuarat bersama Encik Kamil di Hotel Hilton, dia bergegas ke tandas. Biasalah jika dah berjam-jam di dalam bilik berhawa dingin.
            “Dah ke?”
            “Ya, tuan!” jawab Hayati. Dia dapat merasakan suasana tegang di sini. Air muka Aril juga berubah. Seperti tidak menyukai kehadiran pasangan itu.
            “Jom, balik!”  Aril mula mengatur langkah
            “Aril, aku ada perkara nak cakap dengan kau.”
            Langkah Aril terhenti. Dia langsung tidak berpaling pada Tahir.
            Kan aku dah cakap, persahabatan kita dah lama berakhir sejak 11 tahun yang lalu. Aku harap kau jangan muncul di depan aku lagi.” tegas Aril. Dia tidak pernah berharap untuk berjumpa dengan mereka berdua lagi. Kenangan dia bersama Tahir, telah lama dipadamkan. Memori itu telah hilang. Aril berjalan laju meninggalkan lobby Hotel Hilton. Aku tidak boleh berada di sini dengan lebih lama lagi jika tidak entah apa yang aku akan lakukan pada Tahir nanti. Hayati hanya mengekori jejak langkah majikannya.
            Tahir tergamam.
            “What’s wrong with him? Kita nak berbaik dengan dia, dah kira bagus. Sayang, jangan susah hati ye! Dia yang rugi sebab tidak mahu berkawan dengan kita.” Julia mengusap lembut bahu Tahir. Hatinya sakit melihat suaminya dilayan sebegitu rupa.
            Tahir masih terdiam. Tahir memandang Julia. Dia masih merahsiakan pada Julia tentang kematian Kamalia. Aku perlu tahu apa yang berlaku. Iskandar enggan menceritakan apa-apa pada aku. Katanya lebih baik jika aku tahu dari mulut Aril dan Aina sendiri. Nalurinya kuat untuk mengetahui apa yang berlaku.

                        **********************************************

            Tengku Fauziah menoleh ke kiri dan kanan. Dia berasa janggal berada di Majlis Amal Mutiara. Rata-rata tetamu yang menghadiri majlis ini tidak dikenalinya. Semuanya sebaya dengan anaknya. Jika diikutkan hati , dia tak mahu menghadirinya tetapi disebabkan Tengku Fazira memujuk agar menemani dirinya, dia terpaksa akur. Tengku Fazira sedang sibuk berbual dengan kawan-kawannya manakala aku ditinggalkan sendiri. Tengku Fauziah mengeluh. Bosan. Majlis seperti ini sudah tidak sesuai untuk orang yang berumur seperti aku. Matanya meliar di setiap sudut majlis amal itu. Pandangannya terhenti pada seorang lelaki yang sedang menjamu selera seorang diri di meja yang terletak jauh.  Tengku Fauziah membetulkan kedudukan cermin mata yang dipakainya. Dia ingin memastikan siapa gerangan lelaki itu. Senyuman terukir di bibir. Tengku Fauziah mengambil keputusan untuk menyapa lelaki itu.
            “Assalammualaikum.”
            “Waalaikummusalam.” Jawab Tan Sri Syed Abu Bakar. Mulutnya masih lagi mengunyah sate ayam. Dia terkejut melihat kehadiran Tengku Fauziah. Tan Sri Syed Abu Bakar segera bangun. “Fauziah kan! Wah, dah lama kita tak berjumpa.”
            “Rasanya dah 5 tahun kan, Abang Bakar!”
            “Ya! Jemputlah duduk. Tak sangka kita dapat berjumpa lagi.” Tan Sri Syed Abu Bakar tersengih.
            Tengku Fauziah duduk di kerusi yang terletak berhadapan dengan Tan Sri Syed Abu Bakar. Arwah suaminya merupakan junior Tan Sri Syed Abu Bakar di bangku sekolah dahulu. Semasa arwah suaminya masih ada, hubungan mereka sangat rapat. “Abang Bakar datang bersama Mawar ke?”
            “Ya. Entah lesap ke mana pun abang tak tahu! Dia nak sangat datang ke sini, dengan kita sekali diheretnya.” Tan Sri Syed Abu Bakar menggelengkan kepalanya apabila mengingatkan sikap anak tunggalnya itu.
            “Nasib kita sama, Abang Bakar.” Tengku Fauziah ketawa kecil.
            “Budak-budak sekarang ni, buat sesuatu ikut kata hati mereka sahaja. Kita yang tua ni dibiarkan sahaja. Aaaa…..Abang nak minta maaf sebab tak dapat nak menghadiri majlis perkahwinan cucu Fauziah. Aaa….Haikal kan! Ada hal sikit di Singapura.” Tan Sri Syed Abu Bakar meminta maaf. Tengku Fauziah ada mengirim kad jemputan padanya. Kerana tidak dapat menghadiri majlis itu, dia mengirim hadiah sebagai penganti dirinya.
            Tengku Fauziah menarik nafas dalam-dalam. Pasti Abang Bakar masih tidak tahu yang majlis perkahwinan Haikal telah dibatalkan. “Majlis perkahwinan itu dibatalkan.
            Tan Sri Syed Abu Bakar terkejut.
            “Pengantin perempuan tiba-tiba sahaja menghilangkan diri semasa hari pernikahan mereka.”
            Tan Sri Syed Abu Bakar mengeluh. “Apa yang akan terjadi pada masa akan datang, kita memang tidak tahu. Sabarlah, Fauziah. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Mungkin jodoh mereka setakat itu saja.” Ucap Tan Sri Syed Abu Bakar.
            “Ya, Fauziah tahu! Aaa….Cucu-cucu abang dah kahwin ke?” soal Tengku Fauziah secara tiba-tiba. Dia teringat yang Tan Sri Syed Abu Bakar mempunyai dua orang cucu iaitu Aril dan Aina. Dia pernah berjumpa mereka semasa mereka berdua masih kecil lagi. Dia ingat lagi peristiwa di mana Haikal pernah dibuli oleh Aina. Setiap kali bermain dengan Aina, pasti Haikal akan menangis namun mereka rapat. Walaupun Aina muda setahun dari Haikal, pemikirannya tidak seperti kanak-kanak berumur 6 tahun. Aina seorang bijak. Hubungan mereka renggang apabila Aina mengikut bapanya berhijrah ke New York. Haikal sedih selepas pemergian Aina. Tiba-tiba Tengku Fauziah teringin untuk berjumpa Aina.
            “Aril dan Aina ke? Belum kahwin lagi. Masing-masing sibuk dengan urusan sendiri.”
            “Baguslah jika begitu. Ada kerjaya. Ada tanggungjawab. Mungkin jodoh mereka belum sampai lagi. Pasti abang bangga mempunyai cucu seperti Aril. He’s brilliant. Dalam usia yang muda, Aril telah meluaskan empayer Bersatu Holdings malahnya namanya juga tersenarai dalam usahawan berjaya. Jika nak dibandingkan antara Haikal dan Aril, jauh bezanya. “ Sakit hati Tengku Fauziah mengingat sikap Haikal yang pemalas itu. Tahu menghabiskan beras saja. Sikap tanggungjawab tiada.
            Tan Sri Syed Abu Bakar tersenyum. Dia bersyukur kerana Aril tidak pernah memberi masalah padanya. “Mungkin belum sampai masanya lagi. Satu hari nanti Haikal akan berubah. Beri sedikit masa untuknya.”
            “Aina!”
            “Aina!” Tan Sri Syed Abu Bakar ketawa kecil. “Abang sendiri pun tak tahu apa yang Aina sedang buat sekarang ini. Selepas balik saja dari Switzerland, terus saja menghilangkan diri.”
            “Kenapa?” soal Tengku Fauziah hairan.
            “Aina takut. Jika dia pulang ke rumah, dia tahu Mawar akan memaksa dia berkahwin. Rasanya seluruh Malaysia tahu yang Datin Sharifah Mawar sedang mencari bakal menantu untuk anak-anaknya. Rasanya setiap halaman suratkhbar ada iklan tentangnya. “Tan sri Syed Abu Bakar berseloroh.
            Tengku Fauziah turut sama ketawa. Hal itu memang dia tahu.
            “Abang ada gambar Aina. Fauziah nak tengok tak?” Tan Sri Syed Abu Bakar mengeluarkan telefon bimbit Nokia dari poket seluar.
            “Boleh jugak.”
            Tan Sri Syed Abu Bakar menekan icon photo dan kemudian icon my photo ditekan. Dia mencari gambar Aina. Ya, dah dapat. Gambar aku dan Aina.Tan Sri Syed Abu Bakar menekan icon view. “Ini dia.” Tan Sri Syed Abu Bakar memberi telefon bimbitnya pada Tengku Fauziah.
            Tengku Fauziah mengambil telefon bimbit itu. Matanya tidak berkelip sebaik sahaja melihat skrin telefon bimbit itu. “Ini….Ini ke Aina?” nada suaranya bergetar. Dia inginkan kepastian. Patutlah aku rasa seperti macam pernah jumpa saja. Jadi Aina yang sedang menyamar sebagai orang gaji di rumah aku adalah cucu kedua Tan Sri Syed Abu Bakar. Sharifah Aina Aishah tetapi hari itu dia hanya memperkenalkan dirinya sebagai Aina Aishah Bt Ridzuan. Oooo..rupanya dia sengaja tidak meletakkan perkataan Sharifah di hadapan namanya. Aina seolah-olah tidak mahu orang tahu siapa dirinya yang sebenar. Tak sangka dunia ini memang kecil.
            “Ya! Kenapa? Fauziah pernah jumpa dengan Aina ke?’ soal Tan Sri Syed Abu Bakar secara tiba-tiba. Dia hairan dengan perubahan air muka Tengku Fauziah yang terkejut melihat gambar Aina.
            “Tak! Tak!” jawab Tengku Fauziah dengan pantas. Jika Abang Bakar tahu, cucu kesayangannya menjadi orang gaji di rumah aku, aku tak tahu apa yang akan berlaku selepas ini.
            “Selama ini, Aina belajar di Switzerland. Dalam bidang psikologi. Katanya nak jadi doctor psikologi. Nak tolong orang yang ada masalah.” Tan Sri Syed Abu Bakar tersengih.  Nak tolong orang konon, masalah sendiri pun tidak dapat diselesaikan terutamanya ibu Aina sendiri.  Dalam hati Tan Sri Syed Abu Bakar ketawa kecil.
            Tiba-tiba suasana riuh-rendah  menarik perhatian mereka. Serentak mereka berpaling melihat orang ramai yang sedang melihat sesuatu. Terdengar suara yang sedang menjerit seperti memarahi seseorang.
             Tan Sri Syed Abu Bakar mengerutkan dahinya. Suara itu macam pernah dengar saja. Bulat mata Tan Sri Syed Abu Bakar melihat wanita yang sedang menampar seorang lelaki. Tan Sri Syed Abu Bakar terus bangun. “Mawar!”

                                    *************************************

            Wajah Datin Sharifah Mawar berubah. Lelaki yang berada di hadapannya turut sama terkejut dengan kehadirannya. Mata Datin Sharifah Mawar beralih kepada wanita yang sedang memaut mesra lengan lelaki itu. Sakit hatinya melihat gelagat mesra mereka berdua.
            “Mawar, kenalkan anak saudara aku Julia!” Puan Sri Sarimah memperkenalkan anak tunggal kakaknya.
            “Hai!” Julia tersenyum manja.
            Datin Sharifah Mawar terdiam membisu. Dia hanya memerhati. Dia cuba menahan geram. Jadi inilah perempuan yang menyebabkan kematian Kamalia. Selama ini dia hanya tahu namanya sahaja. Dahulu dia ingin bersemuka dengan Julia tetapi ditegah oleh ayahnya. Nak saja dia ajar perempuan tak tahu malu ni. Akhirnya mereka bersemuka juga.
            “Ini pula, suaminya Tahir. Selama ini mereka tinggal di UK. Baru minggu lepas mereka balik sebab mereka ingin membuka cawangan syarikat mereka di Malaysia.”
            Jantung Tahir berdegup kencang memandang Datin Sharifah Mawar. Renungan wanita itu membuat dirinya rasa tergugat. Walaupun Kamalia hanyalah anak angkat Datin Sharifah Mawar, Kamalia sangat disayangi oleh ibu Aina.
            “Ini kawan baik Mak Lang! Datin Sharifah Mawar.” Puan Sri Sarimah memperkenalkan sahabat baiknya itu.
            “Nice meeting you, auntie! Mak Lang selalu cerita mengenai auntie.” Kata Julia dengan manja. Julia menoleh. Dia hairan bila suaminya masih berdiri kaku.
            “Auntie Mawar, sebenarnya….” Akhirnya Tahir bersuara. Dia membuat keputusan untuk menyapa Datin Sharifah Mawar.
            Pang!
            Satu penampar hinggap di pipi Tahir.
            Semua orang yang berada di situ terkejut dengan apa yang berlaku begitu juga Julia dan Puan Sri Sarimah.
            Tahir masih kaku. Pipi masih pedih akibat ditampar oleh Datin Sharifah Mawar.
            “Jangan sebut nama aku! Kau tak layak memanggil nama aku!” marah Datin Sharifah Mawar. Matanya merah menyala. Bibirnya terketar-ketar menahan geram.
            “Mawar.” Puan Sri Sarimah tercengang dengan tindakan sahabatnya itu. Mawar dan Tahir pernah kenal antara satu sama lain. Dia tak pernah tahu pun?
            Julia mengusap pipi suaminya yang merah akibat ditampar oleh Datin Sharifah Mawar. Siapa wanita ini sehingga berani menampar suami aku? “ Kenapa kau tampar suami aku, hah? “ kata Julia dengan kasar.
            “Sebab memang patut pun suami kau ditampar. Jika diikutkan hati, kau pun aku nak tampar juga.” Datin Sharifah Mawar telah mengangkat tangan kanannya namun sempat ditahan oleh Tan Sri Syed Abu Bakar. “Abah!”
            Julia tergamam. Kenapa tiba-tiba saja wanita ini mengamuk? Inilah pertama kali aku berjumpa dengan nya. Tahir masih mendiamkan diri.
            “Sudah, Mawar! Perkara tu dah lama terjadi. Kita sepatutnya reda dengan pemergian Kamalia. Apa yang terjadi pada Kamalia, kita patut terima. Sudah ketentuanNya.” Nasihat Tan Sri Syed Abu Bakar. Dia tak mahu Mawar buat kecoh di tempat itu. Banyak mata sedang memerhati ke arah mereka.
            “Abah! Abah dah lupa ke siapa yang menyebabkan kematian Kamalia. Abah dah lupa ke?” jerit Datin Sharifah Mawar. Dia sudah tidak dapat menahan emosinya. Walaupun  hanya 5 tahun Kamalia menjadi sebahagian dari keluarganya, kasih sayangnya pada Kamalia tidak pernah kurang. Dia amat menyayangi Kamalia tetapi disebabkannya Kamalia pergi meninggalkan dirinya. “Mereka berdua yang menyebabkan kematian Kamalia. Mereka pembunuh.” Jerit Datin Sharifah Mawar sambil menunding jari ke arah mereka berdua.
            “Kamalia dah mati.” Julia terkejut dengan apa yang didengarnya. Julia menoleh ke arah Tahir yang tidak terkejut dengan berita kematian Kamalia. Mungkinkah Tahir sudah tahu. Tangan Julia terketar-ketar.
            Tahir hanya diam membisu.
            “Bawa mengucap, Mawar! Bawa mengucap.” Tan Sri Syed Abu Bakar cuba memujuk anaknya yang sudah hilang kawalan. Terlalu mengikut perasaan.
            Air mata Datin Sharifah Mawar deras mengalir membasahi pipinya. Perasaan marah tidak dapat dikawal lagi. Dia perlu ajar pasangan yang berada di depannya sekarang ini. “Hey, Tahir! Aku tak tahu kenapa kau masih mengganggu Kamalia semasa dia masih hidup? Apa salah dia? Kau dah pun berpisah Kamalia sebab ingin bersama perempuan gedik ni? Dah nak kahwin tetapi kau tetap mengganggu hidup Kamalia. Apa kau mahu lagi? Tak cukup lagi ke kau menyeksa dirinya! Melukai hatinya! Memberi tekanan padanya.Tak cukup ke semua tu? Sekarang ni Kamalia dah meninggal, puaslah hati kau sekarang.” Jerkah Datin Sharifah Mawar.
            Mulut Tahir melopong mendengarnya. Kamalia meninggal disebabkan aku. Apa maksud Auntie Mawar? Aku mengganggu Kamalia? Bila? Selepas aku berpisah dengan Kamalia, aku tidak lagi menghubungi Kamalia. Kisah cinta mereka telah berakhir. “Apa maksud, auntie?”
            “Kau jangan berpura-pura tak tahu! Keluarga aku takkan maafkan kau. Seumur hidup aku, aku takkan maafkan kau dan perempuan ini. Aku takkan maafkan kau.” Jerit Datin Sharifah Mawar. Pandangannya tiba-tiba menjadi kabur. Datin Sharifah Mawar tiba-tiba rebah. Nasib baiklah Tan Sri Syed Abu Bakar sempat memegang anaknya yang tiba-tiba pengsan.
            “Mawar!” Puan Sri Sarimah segera membantu Tan Sri Syed Abu Bakar. Keadaan menjadi kecoh.
            “Auntie!” Tahir terkejut dengan apa yang berlaku. Dia ingin menolong ibu Aril tetapi ditegah oleh Tan Sri Syed Abu Bakar. Renungan Tan Sri Syed Abu Bakar saja sudah menyatakan maksudnya.
            “Uncle, kita bawa Mawar ke hospital segera.” Kata Puan Sri Sarimah. Puan Sri Sarimah sempat berpaling ke arah anak saudarnya. Sekarang ni dia sudah faham apa yang berlaku.
            Wajah Julia pucat lesi. Lidahnya kelu berkata-kata. Dia mula gelisah. Jika Tahir tahu apa yang berlaku, pasti Tahir akan membenci dirinya. Perasaan takut mula menghantui dirinya. Dia tak sanggup jika Tahir meninggalkan dirinya.

                                                ****************************

           
            Aina mengelengkan kepalanya beberapa kali. Haikal sedang menonton tv di ruang tamu. Entah apa yang lucu , dia sendiri tak tahu. Sesekali Haikal ketawa melihat drama Aksi Supermak.  Aina meletakkan segelas air fresh oren yang diminta oleh Haikal tadi.
“Tuan, tak bosan ke?”
            Haikal berpaling. Dahinya berkerut. Dia tidak faham di sebalik pertanyaan yang diajukan oleh Aina. “Apa maksud kau?”
            “Dengan cara hidup tuan sekarang ni! Tuan tak bosan ke?”
            “Kenapa kau nak menyibuk? Aku bosan ke tak, itu masalah aku! Kau tak ada kena mengena. Pergi! Pergi buat kerja kau di dapur tu. Aku nak tengok tv pun tak boleh!”
Bebel Haikal. Pandangannya dialihkan pada skrin tv plasma yang diletakkan di ruang tamu.
            “Apa nak jadi dengan tuan ni? Mengalahkan penggangur terhormat.”
            Haikal menoleh bila mendengar kata-kata Aina. Sempat lagi menegur aku. Haikal berpaling ke arah pintu apabila mendengar deruan bunyi enjin kereta memasuki garaj kereta. Haikal hairan. Matanya memandang tepat ke arah jam dinding. Baru pukul 9.50 malam.
            Pintu terbuka. Dari luar lagi, suara Tengku Fazira sudah dapat didengari. Entah apa yang dibualkan.
            “Awalnya ibu dan nenek balik. Selalunya pukul 11 lebih baru balik.”
            Ada orang bergaduh. Majlis amal dibatalkan.” Jawab Tengku Fazira.
            “Aiii…..Majlis amal pun ada orang bergaduh! Advance.” Haikal ketawa. Haikal kembali menyambung melihat drama Aksi Supermak di TV3. Best jugak cerita ni.
            “Umi, tak jawab lagi pertanyaan Fazira! Bukan ke Mawar hanya ada 2 orang anak. Kalau tak silap, nama mereka Aril dan Aina kan!” soal Tengku Fazira. Sejak dari tadi ibunya hanya mendiamkan diri.
            Tengku Fauziah memandang tepat ke arah Aina yang berdiri tidak jauh dari Haikal. Aina kelihatan terkejut apabila namanya disebut oleh Tengku Fazira.
            “Siapa Kamalia, Umi? Umi mesti tahu. Umi dan Tan Sri Syed Abu Bakar kan berkawan baik.”
            Aina memandang ke arah Tengku Fauziah yang masih merenung dirinya. Apa hubungan atuk dan nenek? Kamalia? Kenapa nama arwah Kamalia disebut? Apa sebenarnya yang berlaku? Wajah Aina pucat. Dia sedar yang Tengku Fauziah sedang merenung dirinya.
            “Umi, dengar tak?”
            “Dengar! Hal keluarga orang lain, jangan masuk campur. Biarlah. Itu masalah mereka.”
            “Nak tahu sikit pun tak boleh!” Tengku Fazira membuat mimic muka apabila ditegur oleh ibunya. “Sekarang ini pasti ramai orang nak tahu kenapa Mawar menampar lelaki muda itu? Apa sebenarnya hubungan lelaki itu dan Mawar? Kenapa Mawar tuduh lelaki itu sebagai pembunuh? Pasti ada sesuatu berlaku antara mereka berdua. Pasti berkaitan dengan wanita bernama Kamalia sehingga Mawar menjerit dan terus pengsan. Mesti perkara serius kan, umi!” Tengku Fazira membuat andaian sendiri. Dia ingin mengetahui apa yang berlaku.
            “Fazira!” Tengku Fauziah berpaling. Nada suaranya ditinggikan. Suka sangat menjaja cerita rumahtangga orang lain! Apa nak jadi dengan Fazira ni?
            Tengku Fazira terkejut. “Baiklah! Baiklah!” Tengku Fazira mengangkat kedua-dua belah tangannya sebagai tanda mengalah.
            Tengku Fauziah kembali melihat ke arah Aina. Tiada sesiapa di situ. Entah ke mana Aina menghilangkan diri. Memang sah Aina adalah Sharifah Aina Aishah! Jika dilihat secara dekat, wajah Aina ada iras wajar Mawar. Yang menjadi persoalannya adalah siapa Kamalia. Setahu aku, cucu Abang Bakar hanya Aril dan Aina. Dahi Tengku Fauziah berlipat empat.

5 comments:

NuRuL AdhiLLa (Eunhaediela) said...
This comment has been removed by the author.
NuRuL AdhiLLa (Eunhaediela) said...

kak azimahlily nper xsmbg lg update novel satu,dua,tiga? Da dikuarkan pasaran ke novel satu,dua,tiga? Smbg la lg novel satu,dua,tiga.. citer satu,dua,tiga mmg best..
TERBAEK

Azimah Lily said...

Kak akan sambung satu dua tiga selepas siapa orang gajiku. Sebenarnya laptop kak baru saja format dan org tu lupa nak back up. Fail satu dua tiga hilang. Jadi kak kena ingat dan taip balik apa yang dh kak taip hari itu. mgkn ambil masa sikit. Maaf ye....Terima kasih kerana membaca novel kak....Thank u...

Cik Miza said...

wahhh suke...suke.. nak haikal ngn aina.. aril ngn rina..hehehee

arai said...

wah best la citer nie.....
x sabar nak tunggu sambungan nyer

Post a Comment

DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

  Bab 5             SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga pet...