Thursday, November 3, 2011

Siapa Orang Gajiku? Bab 13

BAB 13

            “Mak Mah!” jerit Aina. Dia berlari mendapatkan Mak Mah. Sudah lama dia tidak berjumpa dengan Mak Mah.
            Mak Mah yang sedang menyiram pokok bunga terkejut dengan jeritan Aina. Dia  mengamati wajah wanita itu. Cermin matanya dibetulkan. “Aina!” Senyuman lebar terukir di bibirnya. Penampilan Aina berbeza menyukarkan Mak Mah mengenali dirinya.
            Aina bersalam dan mencium kedua-dua belah pipi Mak Mah. “Aina rindu pada Mak Mah.”
            “Mak Mah pun sama.” Mak Mah memegang erat tangan wanita yang dijaganya sejak kecil lagi. Rindunya telah terubat. “Aina dah lain sekarang.”
            Aina masih tersenyum dan menganggukkan kepalanya. Dia faham maksud Mak Mah. Ini mesti tentang penampilan dirinya yang bertudung. “Mak Mah sihat?”
            “Alhamdulilah. Hmm…Aina tahu tak puan masuk hospital?”
            “Tahu.”
            “Jadi, Aina dah melawat puan di hospital?”
            “Tak. Abang tak benarkan. Abang kata lebih jika Aina tidak pergi melawat mama. Kalau Aina pergi, mama mesti tidak akan lepaskan Aina. Lagipun mama keluar wad petang ini.” Beritahu Aina. Abang bertegas melarang aku dari melawat mama.
            “Betul jugak cakap Aril tu. Kalau Puan jumpa Aina, mesti Puan terus kahwinkan Aina dengan calon pilihannya.”
            Aina ketawa mendengarnya. Kata-kata Mak Mah ada kebenarannya juga.
            “Mak Mah, Aina balik sekejap saja. Nak ambil barang di stor. Mak Mah ingat lagi tak, kotak berwarna merah yang Aina simpan di stor. Ada lagi tak?”
            “Kotak warna merah…..” Mak Mah cuba untuk mengingatinya. Di dalam stor tu, ada bermacam-macam jenis kotak. “Yang petak-petak tu ke?”
            “Ya.”
            Ada. Ada lagi di situ. Aina nak buat apa dengan kotak tu?”
            “Aina ada simpan album di dalam kotak tu.” Aina tersengih. Kali ini Haikal mesti dengar cakap aku.
            “Aina!”
            Aina dan Mak Mah berpaling. Badan Aina kaku. Dia merenung lelaki yang sedang berdiri di hadapannya. Aina berjalan mendekati lelaki itu. Kehadiran lelaki itu tidak dialu-alukan di rumahnya.
            “Apa kau buat di sini? Tak puas lagi ke? Mama aku masuk hospital disebabkan kau. Sekarang ini kau nak apa lagi?” soal Aina dengan kasar. Perasaan marah terhadap lelaki itu tidak mungkin akan padam begitu saja.
            “Aina, sebenarnya tujuan Abang Tahir……”
            “Kau jangan nak tunjuk baik dengan aku! Kedatangan kau tidak dialu-alukan di rumah ini. Selepas apa yang kau telah buat pada arwah Kamalia, mustahil kami akan melupakan segala-galanya. Baik kau berambus dari sini. Pergi.” Jerit Aina. Wajahnya berubah merah padam.
            Mak Mah terkejut. Kenapa Tahir datang ke sini? Selepas apa yang berlaku, berani dia datang ke sini lagi. Nak cari nahas ke?
            “Aina! Dengar dulu apa yang abang nak……”
            “Aku tak nak dengar apa-apa dari kau lagi. Pergi. Pergi. Kau telah hancurkan keluarga aku. Sekarang ni kau nak apa dari kami? Berambus. Aku tak mahu lihat muka kau di sini lagi.”
            “Abang Tahir minta maaf jika kedatangan Abang Tahir di sini tidak dialu-alukan. Abang Tahir hanya nak tahu apa yang terjadi pada Kamalia..” jelas Tahir. Dia tak sangka dia dapat berjumpa dengan Aina di sini.
            “Apa lagi yang kau nak dari arwah Kamalia? Semasa arwah Kamalia masih hidup, kau tak habis-habis mengganggu hidupnya. Sekarang ni, dia dah tiada, kau masih tak mahu lepaskan dia ke? Kau ni manusia jenis apa?” rasanya hormatnya pada lelaki itu sudah tiada sejak lelaki itu berpisah dengan arwah kamalia. Apa yang ada hanya perasaan marah.
            “Kenapa semua orang marahkan Abang Tahir? Abang Tahir tak faham apa yang berlaku sekarang ni?” Tahir mula hilang sabar. Dia tidak faham kenapa semua orang menyalahkan diri. Ya, memang aku bersalah kerana berpisah dengan Kamalia yang selama ini begitu ikhlas mencintai aku. Setia menanti diriku tetapi cinta aku tidak sekuat cintanya pada ku. Aku telah jatuh cinta pada Julia. Itulah hakikatnya.
            “Kau memang kejam. Aku hairan kenapa arwah Kamalia mencintai lelaki tak setia seperti kau. Kenapa? Kenapa dia sia-siakan hidupnya kerana lelaki seperti kau?” jerit Aina. Nada suaranya semakin tinggi. Air matanya deras mengalir di kedua-dua belah pipinya. “Aku takkan maafkan kau! Aku takkan maafkan kau seumur hidup aku. Kau dah bunuh satu-satunya kawan baik dan saudara aku. I don’t forgive you. Walaupun kau melutut di hadapan aku, aku tak mungkin akan maafkan kau. Kau dengar tak?” jerit Aina seperti orang yang sudah hilang akal.
            “Aina! Bawa mengucap! Cukuplah.” Mak Mah memeluk Aina. Tangisan Aina semakin kuat. Aina tidak dapat mengawal emosinya. Mak Mah menoleh ke arah Tahir. “Mak Mah rasa lebih baik Tahir pergi dari sini.”
            “Mak Mah, saya tak bermaksud …..”
            “Pergi!” tegas Mak Mah yang masih memeluk Aina. Dia mesti melindungi Aina.
            Tahir menarik nafas sedalam-dalamnya. Dia bingung. Apa yang aku telah buat sehingga dibenci sebegini? Nalurinya kuat untuk mengetahui apa yang berlaku tetapi saat ini bukan masanya. Mungkin aku datang pada waktu yang tidak sesuai. Mungkin lebih baik aku beredar dari sini. Tahir mula mengatur langkah meninggalkan rumah banglo mewah itu dengan perasaan yang hampa.
            “Mak Mah! Apa dia nak lagi dari Aina? Dia dah ambil Kamalia dari Aina? Sekarang ni dia nak apa lagi?” Aina menekup muka dengan kedua-dua belah tangannya. Dia cuba untuk berhenti dari menangis tetapi tak boleh. Air matanya masih lagi mengalir.
            “Sudah! Mengucap Aina. Jangan diikutkan perasaan tu, Aina kena kawal diri..” nasihat Mak Mah. Sayu hatinya melihat Aina seperti itu. Pemergiaan arwah Kamalia memberi tamparan hebat pada Aina.
            “Kamalia! Kamalia! Sampai hati kau tinggalkan aku! Kamalia.”
            Mak Mah mengusap bahu Aina. Kelopak matanya juga berair tetapi ditahannya dari mengalir. Mak Mah memeluk Aina dengan erat. Kenapa kisah silam keluarga ini perlu dibuka lagi?

                                                *************************

            Aina duduk di bangku panjang yang terletak di tengah-tengah taman milik Tengku Fauziah. Lebih 100 spesies pokok hiasan dan pokok hutan ditanam di taman itu. Antaranya siantan, setawar hutan, cycas, Chinese fan, agave, paku pandan, halia bara dan banyak lagi. Namun,fikiran Aina kosong. Aina mendongak ke langit. Awan hitam berarak seiringan dengan angin menghala ke arah selatan. Aina mengeluh. Jiwanya kosong. Apa yang bermain di fikirannya sekarang ini adalah Kamalia.
            “Aku dengar kau couple dengan Abang Tahir?” soal Aina secara tiba-tiba. Langkah diatur kemas mendekati Kamalia yang sedang tekun membaca buku. Maklumlah pelajar cemerlang.
            Kamalia menoleh. Dia tersenyum.
            “Kenapa kau tak beritahu aku, Kamalia? Kau takut aku marah kau ke?”
            “Taklah. Sebenarnya aku malu nak beritahu kau. Abang Aril pun tak tahu lagi. Kami baru dalam peringkat mengenali hati budi masing-masing. Baru saja seminggu kami couple. Eh, bagaimana kau tahu?”
            “Huh!” Aina terus melabuh punggung di sofa fabric berwarna hitam yang terletak tidak jauh dari meja bacaan Kamalia. “Kau dah lupa ke? Di sekolah kita ada CNN bergerak. Apa saja yang berlaku, heboh satu sekolah.”
            “Maksud kau, Lela!”
            “Ya. Dia beritahu yang ada orang nampak kau dan Abang Tahir dating di belakang sekolah. Makan tengah hari bersama pulak tu. Eh, Kamalia! Kalau kau tak mahu orang lain tahu, pandai-pandailah kau cover line.”beritahu Aina.
            “Kau tak membantah ke?”
            “Bantah apa?” Dahi Aina berkerut.
            “Hubungan aku dan Abang Tahir.”
            “Kenapa pulak aku nak membantah hubungan kau berdua? Kalau kau suka, aku pun suka dengan pilihan kau asalkan dia tahu menghargai kau. Faham!” tegas Aina. Abang Tahir adalah kawan baik abang. Kami kenal sejak kecil lagi.
            “Aku tahu!”
            “Eh, apa kau suka sangat tentang Abang Tahir tu? Maksud aku, macam mana kau boleh jatuh cinta pada Abang Tahir. Aku tengok Abang Tahir tu biasa saja. Tiada apa-apa special pun.”  Aina menggaru kepalanya yang tidak gatal.
            “Itu dari pandangan mata kau, Aina.”
            “Maksud kau, mata aku ada masalah la.” Bulat mata Aina. Dia segera bangun.
            “Bukan itu maksud aku. Hmm….aku tak tahu bagaimana nak gambarkan perasaan aku sekarang ini.”
            Aina mengeluh dengan kuat. “Setiap kali kau berjumpa dengan si dia, hati kau berdengup kencang kan?”
            Kamalia mengangguk kepalanya dengan laju.
            “Ke mana saja kau pergi, bayang-bayang si dia mengekori kau kan? Sehari kau tidak bertemu si dia, bagaimanakan 100 tahun kan? Tanpa kehadiran Si dia, hidup kau tak sempurna kan?”
            Kamalia tercengang. Dia tidak percaya dengan apa yang didengarnya sebentar tadi. Semua itu keluar dari bibir Aina. “Macam mana kau tahu?”
            Aina mencebik bibir. “Aku pun baca novel jugak. Kau ingat kau seorang saja ke yang baca novel cinta.”
            Kamalia bangun dan mendekati Aina. Dia duduk di sebelah Aina. Walaupun dari luarannya kasar namun sebenarnya Aina seorang yang lemah lembut. “Kalau kau dah tahu, kau mesti faham perasaan Abang Iskandar kan!”
            “Apa kena mengena hal ini dengan Abang Iskandar?”
            “Semua orang tahu yang Abang Iskandar menyimpan perasaan terhadap kau. Kau tu yang jual mahal.”
            “Eh, tolong sikit! Aku anggap Abang Iskandar seperti abang kandung aku sendiri. Tak lebih dari itu. Kalau Abang Iskandar suka aku, itu masalah Abang Iskandar sendiri. Aku baru berumur 15 tahun, aku tak mahu ada apa-apa hubungan cinta dengan sesiapa pun. I want my freedom.” Aina tetap dengan pendiriannya. Dia belum bersedia untuk semua itu.
            “Kau rugi tahu tak?”
            “Ya, memang aku yang rugi. Aku tak bertuah macam kau, Kamalia. Kau tak rasa hubungan kau dan Abang Tahir terlalu cepat. Maksud aku, kau tu masih lagi bawah umur. Kata orang cinta monyet, tak mungkin bertahan ke jinjing pelamin.” Aina menyuarakan pendapatnya.
            “Itu kata orang. Aku yakin cinta aku akan bertahan sehingga kami ada anak dan cucu. Aku nak jadi seorang isteri dan ibu yang baik. Aku tak boleh hidup tanpa Abang Tahir. He’s part of my life, Aina. Aku lebih rela mati dari hidup tanpa cinta Abang Tahir.” Kata Kamalia dengan jujur.
            Aina mendengus. Aina merenung wajah Kamalia yang bujur sirih itu. “Kau ni terlalu emosional sangat. Baru bercinta tak sampai sebulan, dah lebih-lebih pulak.” Aina terus meninggalkan Kamalia. Berbulu gendang telinga aku ni mendengarnya.
            Air mata Aina mengalir tanpa disedarinya. “Aku ingatkan pada waktu itu kau sekadar bergurau saja, rupa-rupanya benar.” Aina menggenggam erat tangannya. Aina menangis dengan kuat. Aina tidak mempedulikan hujan lebat yang mula membasahi tubuhnya. Aina masih tidak bergerak. Semakin lebat hujan itu turun, semakin kuat tangisan Aina. “Maafkan aku, Kamalia. Maafkan aku!”

                                                ***************************

            Aril mengetap bibir. Dia kurang senang dengan tetamu yang sedang berdiri di hadapannya. Lirikan matanya tepat dihalakan pada ibunya yang berdiri di sebelahnya. Mereka baru saja pulang dari hospital.
            “What! Mama tidak ada kena-mengena dalam hal ini.” Beritahu DatinSharifah Mawar. Dia sudah tahu maksud di sebalik lirikan mata Aril.
            Aril mengeluh dengan kuat.
            Tan Sri Syed Abu Bakar menggaru kepalanya beberapa kali.
            “Auntie! Kenapa auntie tak beritahu mimi yang auntie masuk hospital? Kalau auntie beritahu mimi awal-awal, boleh mimi jaga auntie.” Kata Mimi. Dia berjalan mendekati Datin Sharifah Mawar. Dia memaut lengan Datin Sharifah Mawar sambil tersenyum meleret.
            “Aaa…bukannya teruk sangat. Sakit sikit saja.”
            “Selepas ini, auntie mesti banyak berehat. Aaaa…..jom kita duduk. Tak elok auntie berdiri lama-lama.” Mimi membantu Datin Sharifah Mawar berjalan ke sofa.
            Tan Sri Syed Abu Bakar membuat mimic muka. Aiii…buat macam rumah sendiri pulak. Budak ni memang tak faham bahasa. Tak ada perasaan malu langsung.
            “Semasa Mimi study di UK, mimi ada belajar mengurut dari roommate mimi. Dia orang kampung. Bab mengurut ni, dia memang pandai. Hmm..auntie ada lenguh di mana-mana tak? Biar mimi urutkan.” Mimi memegang tangan kanan Datin Sharifah Mawar. Perlahan-lahan dia mula mengurut.
            “Hmm….belajar mengurut atau belajar mengampu.” Sindir Tan Sri Syed Abu Bakar.
            Air muka Mimi berubah. Dia tahu sejak dulu lagi, Tan Sri Syed Abu Bakar tidak menyukai dirinya.
            “Atuk, melawak tu. Jangan ambil hati.” Pujuk Datin Sharifah Mawar. Dia tahu mesti mimi terkilan dengan sindiran ayahnya tadi. Datin Sharifah Mawar sempat menjeling pada ayahnya.
            Perlahan-lahan Mimi menganggukkan kepalanya. Di dalam hatinya, dia begitu membenci Tan Sri Syed Abu Bakar. Aku nak kahwin dengan Abang Aril. Apa kena-mengena dengan orang tua ni? Menyibuk saja. Kau ingat aku sangat ke dengan kau? Dah tua tetapi tahu menyibuk hal orang saja. Aku nak kahwin dengan cucu kau bukannya kau.
            Tan Sri Syed Abu Bakar mendengus.
            Pandangan Aril diarahkan ke arah lain. Dia nampak Mak Mah sedang melambai ke arahnya di sebalik tiang kecil. Seperti ada sesuatu yang ingin diberitahu oleh Mak Mah. “Mama, Aril naik dulu. Beg baju mama, Aril akan beri pada Mak Mah.”
            “Abang Aril, nanti dulu.” Mimi terus bangun dan menghalang Aril.
            Dahi Aril berkerut. Apa lagi Mimi nak dari aku? Aril kurang senang dengan wanita yang memakai gaun ketat berwarna biru tua separas paha. Gaun yang dipakainya begitu ketat sehingga mengikuti tubuhnya
            “Abang Aril, malam ni! Mimi nak ajak Abang Aril dinner bersama. Boleh kan?”
Ajak Mimi dengan senyuman yang meleret. Memang itulah tujuan sebenar dia datang ke sini.
            “I penat. You tahu kan yang mama I baru saja keluar dari hospital, you mahu I tingaalkan mama I begitu saja ke?”
            “I’m fine, Aril! Aril boleh keluar dengan Mimi. Lagipun selepas ini, mama nak tidur. Pergilah temankan Mimi.” Datin Sharifah Mawar mencelah.
            Mimi tersenyum lebar apabila ibu Aril menyebelahinya. Dia harap Abang Aril bersetuju.
            “No! You cari saja orang lain. I tak berminat nak dinner dengan you.”
            “Why? What’s wrong with me? Tell me!”  air muka Mimi berubah. Dia tak tahu kenapa hati Aril begitu keras menerima dirinya. Dia ingin tahu.
            “I dah ada orang yang I sayang! You dengar tak!” kata Aril secara tiba-tiba.
            Pengakuan Aril menyebabkan semua penghuni yang berada di situ terkejut.        Bibir Mimi bergetar. Pengakuan Aril melukai hatinya. Hatinya sebak. Kelopak matanya berair.
            “Abah tahu ke tentang hal ini?” soal Datin Sharifah Mawar secara tiba-tiba.Wajahnya serius.
            Dengan cepat, Tan Sri Syed Abu Bakar menggelengkan kepalanya. Dia tak tahu apa-apa pun. Apa yang berlaku sebenarnya ni ? Selama ini Aril tak pernah berahsia dengan aku. Hmm…siapa girlfriend Aril?
            “Siapa? Siapa nama girlfriend Abang Aril? Beritahu Mimi.” Mimi masih belum mahu mengalah. Mungkin Abang Aril sengaja mereka-rekakan cerita.
            “Luna! Namanya Luna. Luna jauh berbeza dari you. I hanya mencintai Luna. Hanya Luna yang berhak memilik cinta I. You dah faham kan sekarang. Lebih baik you jangan datang ke sini lagi. Apa saja yang mama I janjikan pada you, I harap you lupakan saja.” Dengan segera, Aril mengatur langkah meninggalkan Mimi.
            “Auntie!” Mimi berpaling ke arah Datin Sharifah Mawar. Air mata Mimi mengalir laju. Mimi berlari ke arah Datin Sharifah Mawar. Dia menangis teresak-esak di bahu Datin Sharifah Mawar. “Sanggup Abang Aril buat Mimi macam ni? Auntie!.....”
            Datin Sharifah Mawar menepuk bahu Mimi perlahan-lahan. Dia tak tahu apa nak dibuat selepas ini.
            “Itulah….orang dah kata tak suka, tetapi masih tak faham-faham lagi. Sekarang ni, tanggunglah sendiri.” Sindir Tan Sri Syed Abu Bakar. Tiada langsung perasaan simpati pada Mimi.
            ‘Abah!” tegur Datin Sharifah Mawar.
`           Tangisan Mimi semakin kuat selepas mendengar kata-kata Tan Sri Syed Abu Bakar.
            Datin Sharifah Mawar menjeling ke arah ayahnya. Bercakap ikut sedap mulut saja.Hmm…siapa Luna? Aku mesti tahu siapa Luna. Datin Sharifah Mawar bertekad. Pandangannya dialihkan pada Tan Sri Syed Abu Bakar yang ketawa kecil melihat Mimi menangis. Pasti abah tahu sesuatu!

                                                *****************************

            Tahir menekan brek secara tiba-tiba. Dia terkejut apabila ada sebuah kereta Mazda RX8 berwarna hitam memotong dan  berhenti di hadapan keretanya secara tiba-tiba.
            “sayang, tak apa-apa ke?’ soal Tahir.
            “I’m fine!” Julia menarik nafas lega. Nasib baiklah, dia memakai seat belt. Jika tidak, tak tahulah apa yang berlaku. Julia merenung tepat pada kereta yang berhenti di hadapan mereka. Macam ini ke belajar memandu?
            Tahir membuka pintu dan berlalu keluar dari perut kereta. Dia ingin tahu kenapa pemilik kenderaan Mazda RX8 bertindak sebegitu. Tindakannya itu membahayakan semua pengguna jalan raya.
            Julia hanya memerhati dari dalam kereta.
            Langkah Tahir terhenti sebaik sahaja pemandu itu keluar dari tempat pemandu. “Aril”
            Satu tumbukan hinggap di muka Tahir. Tumbukan Aril menyebabkan Tahir tersandar di kereta Mercedes milik Tahir.
            Julia tergamam melihat apa yang berlaku.
            “Aku dah cakap jangan ganggu ahli keluarga aku lagi. Kau memang jenis manusia tidak faham bahasa. Tak habis-habis menggangu keluarga aku! Apa kau tak berpuas hati lagi? Cuba kau beritahu aku sekarang ini.” Marah Aril. Mak Mah telah menceritakan segala-galanya. Setiap yang berlaku dia tahu. Kedatangan Tahir menggangu Aina membangkitkan kemarahannya pada lelaki yang pernah menjadi sahabat baiknya sebelum ini. Apa yang lebih membimbangkan sekarang ini adalah Aina. Sejak semalam, panggilannya pada Aina tidak dijawab. Aril mula risau. Dia takut sesuatu terjadi terhadap Aina.
            Tahir memegang pipinya yang sakit akibat tumbukan Aril .Pedih.
            “Aril, aku hanya nak tahu apa yang berlaku. Aku nak tahu kenapa semua orang menuduh aku yang bukan-bukan? Aku hanya nak tahu apa yang berlaku.Kenapa semua orang menyalahkan aku?”
            Julia terus keluar. Dia hairan kenapa Aril menumbuk Tahir secara tiba-tiba.
            “Kenapa? Kau masih tak mahu mengaku lagi? Kau yakin tindakan kau selama ini terhadap arwah Kamalia adalah betul. Itu ke yang kau nak beritahu aku?” Wajahnya merah padam. Sakit hatinya mendengar kata-kata Tahir. Apa yang berlaku pada arwah Kamalia seperti tiada kaitan dengan dirinya?
            “Aril! Cuba kau beritahu apa yang aku telah lakukan pada arwah Kamalia. Kau beritahu aku? Aku nak tahu.” Tegas Tahir. Wajahnya serius. Teka teki ini perlu diselesaikan segera.
            Julia kaku. Badannya sejuk. Wajahnya pucat lesi. Jantungnya berdengup kencang. Dia mula gelabah. “Jika Tahir tahu, teruklah aku selepas ini. Tahir tak boleh tahu hal ini. Aku mesti menghalang semua ini dari berlaku.
            “Sekarang ini kau dah pandai nak buat drama di depan aku. Kau ingat aku bodoh. Aku tak sangka begini rupanya sikap kau yang sebenar. Aku menyesal berkawan dengan kau. Aku menyesal.”
            “Aril! Cuba kau berterus-terang pada aku apa yang telah berlaku. Kau jangan buat aku terpinga-pinga seperti ini. Kau beritahu aku apa yang berjadi sebenarnya.Sumpah, aku tak tahu apa-apa”
            “Kau ni memang sengaja nak naikkan darah aku kan!” Aril terus memegang kolar baju Tahir dengan kasar. Renungannya tepat pada anak mata Tahir. “Kau dah berpisah dengan arwah Kamalia tetapi kena kau tetap nak melukai hatinya. Kenapa Tahir? Arwah Kamalia tidak pernah melukai hati kau tetapi sebaliknya kau yang menyakitkan hatinya. Kenapa kau hantar gambar tu pada arwah Kamalia? Kenapa Tahir? Kenapa?’ jerkah Aril. Matanya merah menyala.
            Tahir terkejut mendengar kata-kata Aril. Gambar! “Apa maksud kau Aril? Gambar apa? Gambar apa yang kau cakapkan ini?” soal Tahir secara tiba-tiba.
            Aril terkejut dengan reaksi Tahir. Berdasarkan pada reaksi Tahir, Tahir seolah-olah tidak tahu apa yang terjadi. Aril merenung Tahir. “Jadi, bukan kau yang hantar.” Aril melepaskan kolar baju Tahir. Matanya meliar ke kiri dan kanan.
            “Hantar apa, Aril?” soal Tahir. Dia ingin tahu gambar apa yang dimaksudkan oleh Aril. Dia ingin tahu apa yang sebenarnya yang terjadi.
            Badannya Julia bergetar. Wajahnya bertukar pucat. Jika Aril memberitahu apa yang terjadi, pasti Tahir tahu siapa yang menghantar gambar tu.
            Dahi Aril berkerut. Pertanyaan Tahir masih tidak dijawab. Kalau bukan Tahir yang hantar, siapa yang sebenar menghantar gambar tu pada arwah Kamalia? Mungkinkah? Aril melirikan matanya ke arah Julia yang masih berdiri tidak jauh dari mereka.
            Julia tergamam.
            Aril menjegil matanya pada Julia. Berdasarkan kepada air muka Julia, dia sudah tahu kebenarannya. Selama ini mereka telah menuduh orang yang tidak bersalah. Aril mendengus. Aril terus mengatur langkah menuju ke kereta dan masuk ke dalam perut kereta Mazda RX8. Kereta itu meluncur laju.
            “Aril! Aril!” jerit Tahir. Dia hairan apabila Aril meninggalkan dirinya begitu saja. Dia ingin tahu segala-galanya.  Tahir menoleh ke arah Julia. Dia melihat wajah Julia yang pucat lesi lantas Tahir mendekati Julia. Tangan Julia dipegang. Sejuk.
            “Sayang, tak sihat ke?’
            “Aaa….Sihat. Jom, kita balik. Tiba-tiba Julia rasa sakit kepala.”bohong Julia. Dia mesti berlagak seperti biasa agar Tahir tidak dapat menghidu apa yang berlaku. Jiwanya tidak tenteram. Di sebalik lirikan mata Aril tadi, Aril sudah tahu segala-galanya. Semalam dia ada menelefon papa dan bertanya tentang Tan Sri Syed Abu Bakar. Papa beritahu Tan Sri Syed Abu Bakar adalah ahli korporat yang dihormati malah Tan Sri Syed Abu Bakar juga adalah salah seorang board director di syarikat papa. Jika keluarga Tan Sri Syed Abu Bakar tahu yang akulah yang menghantar gambar tu, aku tak dapat membayangkan apa yang terjadi pada keluarganya. Julia resah.

                        *********************************************

            “Kak Aishah baru saja tidur selepas makan ubat.” Beritahu Murni. Perlahan-lahan dia menutup pintu bilik. Aina sedang tidur. Dia tak mahu perbualan mereka mengganggu Aina.
            “Kenapa tak bawa pergi klinik?” Tengku Fauziah risau.
            “Dah puas kami pujuk, Mak Engku. Kak Aishah kata selepas makan ubat dan tidur, dia akan sembuh.”
            Tengku Fauziah mengeluh. Apa yang berlaku sebenarnya?
            “Mak Engku, Kak Aishah ada masalah ke?’
            ‘Kenapa Murni?”
            “Semalam Kak Aishah pulang dengan keadaan basah kuyup. Wajahnya masam. Matanya merah menyala seperti baru lepas menangis. Kak Aishah terus masuk ke bilik. Lepas tu Kak Aishah asyik berkurung di dalam bilik. Masa Murni nak gerak Kak Aishah bangun sembahyang Subuh, badannya panas. Mungkin Kak Aishah demam disebabkan terkena hujan semalam”
            Tengku Fauziah resah. Apa yang telah berlaku? Aina bergaduh dengan Mawar ke?
            “Mak Engku, Kak Aishah ada masalah kewangan ke?” soal Murni secara tiba-tiba. Dia tahu Mak Engku kelihatan rapat dengan Aina.
            “Hish…kamu ni Murni! Busybody. Jangan menyibuk hal orang. Kamu tolong tengokkan Aishah tu. Jika demam Aishah masih belum kebah, beritahu saya. Faham.” Tegur Tengku Fauziah. Masalah kewangan! Ada-ada saja Si Murni ni.
            “Ya. Ya!” jawab Murni dengan nada suara bergetar. Dia terkejut apabila ditegur oleh majikannya. Inilah akibatnya jika ingin tahu.
            

3 comments:

Makanan Kesihatan said...

gambar apa agknyer yg julia hntr..sian aina smpai demam2..

mieda said...

jahatla julia niiii.....xsbr nk tggu next ep...

Anonymous said...

huh....mmg jhat julia nie.....
p n3 kli nie xde haikal.....
pepepun best...hehe

Post a Comment

DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

  Bab 5             SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga pet...