Wednesday, September 23, 2015

Tuk Tuk Dia Ketuk Pintu Hatiku... Bab 3

BAB 3

“Liya masak apa pagi ni?” tanya Hajah Salmiah seraya berjalan mendekati meja makan yang sudah dipenuhi dengan makanan. Dia baru saja keluar dari bilik untuk sediakan makan pagi. Rupa-rupanya dah pun siap. Liya memang pandai masak. Bab memasak memang terror. Nak makan apa, cakap saja. Dah boleh kahwin pun tapi sayang semua pilihan aku langsung dia tak berkenan. Entah siapa dia tunggu aku pun tak tahu. Nasib baiklah, anak perempuan seorang saja.

            Liya tersenyum. “Nasi lemak ada! Bihun goreng ada! Cucur jagung pun ada. Mak duduklah. Dah siap ni. Sekejap Liya panggil ayah dan abang.”  Teko air kopi yang baru dibancuh diletakkan di atas meja.

            “Biar mak panggilkan! Siapkan cepat. Kalau tak siap, ayah ang bising pulak” Hajah Salmiah mencelah dan berjalan meninggalkan ruang dapur. Beberapa minit kemudian, Haji Razali dan Hazri berjalan memasuki ruang makan mengekori Hajah Salmiah.

            Hazri terus menarik kerusi dan menghidu bau nasi lemak yang sudah menerjah masuk ke dalam rongga hidungnya. Perut terus berkeroncong. “Wow… banyaknya makanan! Semalam mimpi apa? Tiba-tiba murah hati nak masak semua ni. Hmmm….. abang tahu, mesti semalam Liya mimpi jadi isteri orang! Sapa laki Liya, citer la! Abang nak tahu! Itulah ada orang ajak Liya kahwin, Liya jual mahal.”  Wajah adik kembarnya direnung.

            Liya mengetap bibir. Ini seorang lagi, sengaja sebut bab kahwin. Kalut sangat kalau bab aku ni! Sengaja tu nak bagi point kat mak, sat gi mak start  tazkirah bab kahwin akulah mangsanya. Tiba-tiba senduk nasi dihala ke arah Hazri. “Abang memang sengaja nak naikkan darah Liya kan! Kalau macam tu, tak payah makan.” Liya terus mengambil pinggan yang berisi nasi di hadapan Hazri.

            “Eh … Eh…. “ Hazri terkejut dan air muka terus berubah masam. Tak boleh nak cuit sikit terus melenting.  Dia menarik semula pinggan dari tangan Liya.

            Hajah Salmiah hanya mendiamkan diri dan terus menarik kerusi. Dia duduk di sebelah Liya. Dia sudah masak dengan perangai anak-anaknya. Setiap hari ada saja benda nak gaduh. Kecil-kecil dulu sampai sekarang tak habis-habis nak bergaduh. Aku malas nak cakap apa-apa. Kalau aku tegur, mereka kata aku ni kuat berleter pulak.  Hajah Salmiah menuang air kopi di dalam cawan suaminya.

            “Hish …. Hampa berdua ni dah besar panjang pun nak bergaduh lagi. Sudah-sudahlah. Ni rezeki kat depat mata, tak eloklah bergaduh macam tu. Lekas, baca doa cepat. Ayah dah lapar ni.” Tegur Haji Razali sebelum mengangkat kedua-dua tangan untuk membaca doa.

            Liya dan Hazri terus mendiamkan diri dan menuruti saja kata-kata ayah mereka. Liya sempat menjeling ke arah Hazri. Selepas saja doa makan dibaca, masing-masing menjamu selera.

            “Aaa… sebelum ayah terlupa, kunci rumah sewa tu  …. Ayah dah letak kunci di atas almari kat depan. Hazri tengok dulu dan bersih yang mana patut. Confirm banyak habuk. Check suis lampu, tengok nyala ke tak! Lepas tu paip air pun kena check, takut-taku pulak kalau ada terbocor. Ayah tak mau la nanti ada benda rosak kat rumah sewa tu. Tak eloklah macam tu.” Kata Haji Razali panjang lebar.

            “Baik, ayah! Lepas makan nanti, Hazri pi tengok.”

            “Kawan Hazri tu dah kahwin ke belum?” tanya Hajah Salmiah. Hati tiba-tiba terdetik nak tahu.

            Gulp! Tiba-tiba rasa ada benda terlekat, Liya melirik mata ke arah ibunya. Dah ku agak!

            “Belum.” Ringkas jawapan Hazri. Dia sempat melihat reaksi adiknya.

            “Maksudnya, kawan Hazri tu single lagi. Tak ada isteri.” Suara Hajah Salmiah ceria secara tiba-tiba.

            “Ya! Memang single! Tak ada isteri!”

            Bibir Villa digigit rapat menahan marah. Sudu digenggam erat. Dia masih tak lepas merenung Hazri. Memang sengaja cari nahas, sukalah tu. Nanti siaplah, aku tahulah cara nak ajar kau nanti. Tunggulah.

            “But …. hati dia dah ada bunga, mak! Adli dah nak tunang tahun ni. Sorry la, mak!” Hazri berterus-terang.

            Hajah Salmiah mengeluh kuat tanda hampa. Ingatkan kawan Hazri tu jodoh Liya, aiii… nampaknya lambat lagi orang kampung nak merasa nasi minyak Liya. Sebiji cucur jagung diambil dan dikunyah perlahan-lahan.

            Fuh! Lega rasanya. Selamat aku! Liya mengurat dadanya beberapa kali. Dia menyambung semula makan yang terbantut tadi. Rasa berselera sekarang ni.

            “Tapi …. Kadang-kadang tu bertunang pun boleh putus. Jodoh orang kita tak boleh nak jangka” Hazri sengaja menokok tambah ayatnya. Dia suka sangat mengusik adiknya, Hasliya!

            Sudu diletak dengan kasar di atas meja. “Abang!” jerkah Liya. Dia bengang bila Hazri cuba menarik minat ibu mereka. Eee…. Sakitnya hati aku! Mak dah give up , mulut tu sengaja nak beri idea yang bukan-bukan kat mak. Main tarik tali denga mak pulak.

            Haji Razali yang sedang meneguk air kopi, tersedak kerana terkejut dengan suara Liya .

            “Ayah!” Hazri menoleh dan mengurut belakang ayahnya.

            “Ayah!” Liya rasa bersalah melihatnya.

            “Tengok apa Liya dah buat! “ marah Hazri seraya memberi tisu pada ayahnya.

            Haji Razali menampar belakang Hazri dengan kuat. “Dah la. Tak habis-habis nak usik Liya. “ tegur Haji Razali. Walaupun dia hanya mendiamkan diri sebenarnya dia faham apa yang berlaku.

            “Sakit! Ayah ni!” Hazri mengurut belakangnya. Pedih!

            “Hampa berdua ni tak pernah bagi ayah dan mak makan dengan aman. Ada saja nak kelahi. Umur tu dah 28 tahun tapi perangai tak matang langsung. Mak dah pesan banyak kali kan! Jangan bergaduh depan rezeki. Tak baik.” Tegur Hajah Salmiah. Bihun goreng dicedok ke dalam pinggan.

            “Tapi mak yang mulakan dulu.” Jawab Hazri.

            “Hish budak ni! Dia tolak salah dia kat kita pulak.”

            “Dah la tu. Cepat makan! Lepas ni, Hazri nak bersihkan rumah sewa pulak.”

            “Ya, ayah!” jawab Hazri tanda akur dengan arahan Haji Razali. Tiba-tiba Hazri tersengih di hadapan Liya yang duduk bertentangan di meja makan. “Liya!” tiba-tiba suara Hazri berubah menjadi manja. Dia membuat muka cute seolah-olah ingin minta sesuatu. “Liya!”

            Liya berpura-pura tak dengar. Dia memandang ke arah lain. Ini mesti ada benda nak minta kat aku. Suara tu manja semacam ja. Bila nak minta tolong, mulalah buat baik kat aku. Menyampah aku! Confirm nak aku tolong dia bersihkan rumah sewa tu. Sorry, tak ingin aku nak tolong. Buatlah sendiri. Aku busy. Daripada aku bersihkan rumah tu lebih baik aku bersihkan kandang lembu dan kambing aku. Berbaloi! Liya terus makan tanpa mempedulikan panggilan Hazri.



2 comments:

Unknown said...

Haha saja jer azti bg lia agin..

Kim said...

thank you so much upload bab baru.

Post a Comment

DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

  Bab 5             SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga pet...