Tuesday, November 14, 2023

PANAHAN MATAMU - BAB 5

 


Bab 5

            EIYAD berlari masuk ke dalam rumah membawa mainan yang baru dibelinya tadi. Dia terus tinggalkan Dina dan Darina.

            “ Itu mesti nak tunjuk kat Pak Su kesayangan dia.” Kata Dina. Dia menutup pintu kereta kakaknya. Rasa pelik dengan perangai kakaknya yang termenung sejak kat kedai makan lagi. Ada masalah ke? Tapi kat shopping mall tadi okey saja. Dahi berkerut melihat Darina yang masih di dalam perut kereta.

            “Kak Darina! Kak Darina! Oooo….. Kak Darina, kan dah sampai rumah!” panggil Dina dengan nada tinggi.

            Darina terkejut dan memandang Dina yang sudah keluar kereta.

            “What’s wrong? Ada masalah ke? Something happened?” tanya Dina dengan wajah serius.

            “Tak ada apa-apa la!” Dengan pantasnya Darina menjawab. Dia segera keluar dari perut kereta BMW X4 miliknya. Terlalu fikirkan pasal perjumpaan dengan Rozie.

            “Jom masuk!” ajak Darina.

            Dina mencapai tangan kakaknya. Dia merenung wajah Darina.

            “Are you really okey, sis!” tanya Dina sekali lagi. Dia dapat hidu sesuatu.

            “Okey saja.” Jawab Darina dengan senyuman untuk mengaburi mata Dina.

            “Tipu! Mesti ada something jadi masa pergi toilet tadi kan.” Dina merenung anak mata kakaknya demi kepastian. Firasat dia tak pernah salah.

            Darina tergamam. Otak begitu ligat mencari alasan. Mustahil dia akan ceritakan hal sebenar dekat Dina. Nak cari nahas! Tiba-tiba dia dapat idea.

            “Masa Kak Darina keluar toilet tadi, ada lelaki kacau. Geram la. Tak reti bahasa betul. Minta no phone lagi. Sebab itu Kak Darina lambat sikit, sebab larikan diri dari lelaki itu.” Jawab Darina merekakan cerita. Harap sangat Dina percaya. Tipu sunat kata kan!

            “Laaa… Kenapa tak cakap awal-awal, biar Dina ajar lelaki itu. Nak mengorat kena la gentlement. Next time, kalau kena kacau, beritahu Dina. Okey!” Kata Dina. Dia terus melangkah masuk.

            Wajah Darina jelas lega setelah ceritanya dipercayai oleh Dina. Tiba-tiba terkejut apabila Dina patah balik ke arahnya.

            “Dina lupa nak cerita something kat Kak Darina. Tadi nak cerita tapi Eiyad ada.”

            “Pasal apa, Dina?”

            “Masa Dina pergi ambil bekas minuman Eiyad, Dina terdengar perbualan ibu dengan kawan dia. Memang betul la ibu nak kenalkan Kak Darina dengan seseorang. Apa lagi, Dina terus tegur ibu. Terus ibu naik angin, kata ibu pilihan ibu kali ini jauh baik dari Joe. Mikail ni doktor yang ada klinik kat Melaka. Kononnya family Mikail ni dari family baik-baik. Benda yang sama juga ibu cakap pasal Joe tu. Doktor pakar bedah yang disegani, yalah tu…. Tapi tengok apa Joe tu buat kat family kita. Malu yang kita dapat. Alih-alih Joe tu pergi kejar bekas teman wanita.” Cerita Dina. Dalam masa yang sama dia sakit hati bila teringat bakal abang ipar dia yang tak jadi tu.

            Air muka Darina berubah. Mustahil dia dapat melupakan apa yang terjadi. Pada saat itu hatinya sudah diberikan pada Joe, balasan yang dia dapat hanya kekecewaan. Joe menghilangkan diri di saat majlis akad nikah mereka berdua ingin dilangsungkan.

            Dina menyedari perubahan wajah kakaknya. Rasa bersalah kerana mengungkit kisah kakaknya dan Joe. Dia pun satu, sebut nama jantan tak guna tu buat apa!

            “Sorry! Dina tak patut sebut nama lelaki tak guna tu!” ucap Dina.

            “It’s okey! Dah jadi sejarah kan!” Darina tersenyum kelat.

            “Kalau ibu tetap jugak nak Kak Darina jumpa Mikail tu, beritahu Dina. Tahu la macam mana Dina nak sabotage plan ibu tu! Ingat Kak Darina. Tell me everything! Antara kita tiada rahsia kan!”  Walauapa yang terjadi, Dina akan berpihak dengan kakaknya.

            Darina tersenyum dan menganggukkan kepala perlahan-lahan. Masak la dia nanti kalau Dina tahu dia rahsiakan pasal Rozie.

            Dina tersenyum puas. Takkan dia biar hati kakaknya disakiti lagi. Cukuplah sekali dikhanati.

                                                            ***************************

            ERJAZ mendaki anak tangga satu persatu. Dia menguap perlahan-lahan. Mengantuk sejak tadi lagi. Maklum la dia baru saja selesai melakukan pembedahan. Suasana di dalam rumah hanya samar-samar. Pasti semua orang sudah tidur. Sebelum dia keluar dari kereta tadi, dia sempat melirik ke arah jam kereta yang menunjukkan pukul 1 pagi.

            “Abang Erjaz!”

            Erjaz terkejut apabila namanya dipanggil. Dia melihat wanita berambut panjang duduk di sofa dalam keadaan gelap.

            “Darina! Ya Allah! Kenapa duduk dalam gelap? Terkejut la.” Erjaz menarik nafas lega. Ingatkan hantu tadi.

            “Shisss…. Jangan cakap kuat sangat. Darina ada benda nak beritahu ni.” Darina melihat ke kiri dan kanan. Isyarat tangan diberi seraya menyuruh abangnya duduk di situ. Bimbang jika suara abangnya tadi mengejutkan penghuni lain di tingkat atas itu terutama sekali Dina.

            “Ada apa sampai tak boleh cakap esok ni? Penting sangat ke?” tanya Erjaz. Dia menguap sekali lagi. Kelopak mata semakin berat. Nampak bantal saja sekarang ini.

            “Penting!” tegas Darina.

            Erjaz terus duduk dan memandang Darina.

            “Hari ni kan kami keluar shopping, Darina jumpa Rozie.”beritahu Darina.

            “Apa!” Erjaz terkejut. Terus kelopak mata terbuka luas.

            “Ya!”

            “Habis tu Dina dengan Eiyad?”

            “Nasib baik la dia orang tak ada. Rozie cakap dia balik Malaysia selama-lamanya. Abang Erjaz tahu tak pasal hal ini?” tanya Darina.

            “Kawan Abang Erjaz ada beritahu pasal kepulangan Rozie minggu lepas. Lepas graduate kat London, Rozie akan kerja kat Malaysia. Dia orang cakap Rozie dapat tawaran kerja kat hospital swasta Penang.” Beritahu Erjaz. Wajahnya jelas tenang. Hubungan dia dan Rozie sudah berakhir 5 tahun yang lalu.

            Darina menghela nafas lega. Bagus juga kalau Rozie kerja jauh dari KL.

            “Rozie dah bercerai, Abang Erjaz tahu tak?”

            “Dah cerai ke kahwin lain ke? Abang Erjaz tak nak ambil tahu.” Jawab Erjaz. Malas nak mengingatkan apa yang terjadi antara mereka berdua sepanjang dua tahun berkahwin. Mereka berdua tak pernah bahagia. Dia cuba menjadi suami yang baik tapi di hati Rozie sudah ada orang lain.

            “ Tapi Rozie nak jumpa Eiyad!” beritahu Darina.

            Erjaz terkejut.

            “Apa! Kak Rozie nak jumpa Eiyad?” Tiba-tiba ada suara lain selain mereka berdua.

            Darina terperanjat. Dia melihat ke arah Eiman yang keluar di sebalik tempat persembunyian dia.

            Air muka Darina berubah. Dia terus bangun dan menarik Eiman agar duduk di sofa bersama mereka.

            “Suara tu slow sikit. Nanti Dina dengar.” Pesan Darina dengan suara perlahan.

            “Mustahil la Kak Dina nak dengar. Kak Dina kalau tidur, tidur mati. Esok pagi baru jaga.” Jawab Eiman. Disebabkan dahaga, dia terjaga. Tak sangka dalam perjalanan ke dapur, dia terdengar perbualan kakak dan abangnya pasal bekas kakak iparnya.

            “ Kenapa Kak Rozie tiba-tiba nak jumpa Eiyad? Dah lupa ke perjanjian yang Kak Rozie buat sendiri masa suruh Abang Erjaz ceraikan dia? Bila Eiyad tu dah besar, tiba-tiba nak jumpa. Susah payah Abang Erjaz besar Eiyad, senang-senang nak jumpa.” Eiman mendengus kuat. Dia memang tak sukakan Rozie. Satu-satunya ibu kandung yang tak ada hati perut langsung, hanya tahu pentingkan diri sendiri. Kononnya nak kejar impian sendiri dan sambung belajar. Tak bersedia nak kahwin sebenarnya tetapi dipaksa oleh keluarga. Tapi hakikatnya, tak sampai setahun sambung belajar kat London, Rozie berkahwin dengan bekas kekasih yang turut sama belajar di situ. Argh… pandai betul berdrama! Tak pasal-pasal anak yang menjadi mangsa.

            “ Apa hak dia nak jumpa Eiyad? Dia sudah hilang hak dia sebagai seorang ibu. Abang Erjaz akan fight kalau dia cuba nak jumpa Eiyad. Perempuan macam tu tak layak jadi ibu Eiyad. Eiman, masa hantar atau ambil Eiyad tadika, jangan sesekali bagi Rozie tu dekat dengan Eiyad. Terus call Abang Erjaz, faham!” kata Erjaz dalam masa yang sama dia mengingatkan Eiman. Kalau dia kerja, Eiman dan Dina yang selalu ambil Eiyad tadika.

            “Ayah dengan ibu patut tahu jugak? Kak Dina lagi la kena tahu” kata Eiman.

            “ Tak perlu tahu. Rozie bukan menantu mereka lagi. Dina pulak …….” Jawab Erjaz seraya berkerut dahi memikirkan pula adiknya seorang lagi.

            “ Tak payah! Lebih baik Dina tak payah tahu.Bertambah masalah kalau Dina tahu. Baik rahsiakan hal ini dari Dina.” Jawab Erjaz lagi seraya menggelengkan kepala.

            “Tapi kalau Kak Dina terserempak dengan Kak Rozie macama mana?” tanya Eiman lagi.

            “Jawabnya Rozie tu pendek umur la.” Darina mencelah. Tak dapat bayangkan jika itu terjadi.

            “Betul jugak! Kak Dina benci giler kat Kak Rozie. Tapi ….. best jugak kalau Kak Dina terjumpa dengan Kak Rozie, mesti havoc KL ni nanti.” Kata Eiman dan kemudiannya tersenyum jahat.

            “Orang nak elak masalah, dia pulak suka masalah. Dah pergi tidur. Janji tau , jangan beritahu Dina.” pesan Darina. Dia membesarkan anak matanya.

            “Betul tu! Jangan sesekali beritahu Dina. Bersurai! Abang Erjaz nak tidur.” Erjaz turut sama mengingatkan adik bongsu mereka. Dia terus bangun dan melangkah ke bilik tidurnya. Dalam hati, dia berharap sangat takkan berjumpa dengan Rozie.

            


No comments:

Post a Comment

DIA MENARIK PERHATIANKU - BAB 10

  Bab 10             PAK WALID yang baru saja melangkah masuk ke ruang dapur tercengang melihat Widad bergegas keluar rumah dengan membaw...