Sunday, November 24, 2024

POSKAD CINTA DARI KANADA - BAB 2

 

Bab 2

Enam bulan kemudian ……

            Langkah Emira terhenti dan pandangan dia beralih ke arah peti surat di pagar rumahnya. Hari ini dia ada temujanji dengan supervisor dia di Universiti Malaya.

            Poskad diambil keluar. Dahi Emira berkerut membaca poskad itu. Pengirim poskad ini masih tidak berputus asa menghantar poskad ini. Dalam seminggu, dia akan menerima poskad ini walaupun sudah enam bulan berlalu.

            “Please contact me, Arfa Emira! I miss you so much.” Baca Emira. Kemudian dia mengeluh kuat.

            “Aduh! Susah sangat ke nak faham, kalau orang tak balas tu, maknanya something wrong!” Emira mengetap bibir. Kenapa benda yang tiada kena mengena ini menyusahkan hidup dia?

            “Lantaklah! Bukan masalah aku pun.” Kata Emira. Dia terus membuka bag galasnya dan memasukkan poskad itu ke dalam. Topi keledar dipakai dengan segera. Dia terus naik motor Honda Vario dan menghidupkan enjin motor. Dia bimbang jika terlewat berjumpa supervisor dia.

                                                *********************************

            Malam ini, Emira dan Kausar malas keluar makan malam kerana di luar hujan lebat. Mereka berdua terus memasak maggie untuk mengisi perut mereka berdua yang tengah lapar.

            “Sedapnya makan maggie masa tengah hujan macam ini.” Kata Emira.

            “ Memang pun. Ada telur dengan sayur, itu dah cukup sedap.” Kausar menyokong kata-kata Emira.

            Mereka berdua makan dengan penuh berselera.

            “Aaa… Poskad tu sampai lagi hari ini.” Beritahu Emira.

            “Laaa…. Kasihan pulak aku kat mamat tu. Apa kata kau balas saja poskad tu cakap kata tersalah alamat.” Kausar memberi cadangan.

            Emira mengeluh kuat. Dia malas sebenarnya.

            “ Kau tulis ringkas saja, wrong address, habis cerita! Setakat hantar poskad ke Kanada, rasanya tak mahal sangat kot, anggap saja kau buat kebajikan. Takkan kau tak rasa kasihan kat mamat. Orang tengah mengharap kot.” Pujuk Kausar.

            “Nanti aku fikir dulu! Kepala aku tengah serabut fikirkan thesis aku. Aaa… Hujung minggu ni aku balik rumah parents aku kat Putrajaya.”

            “Bukan ke baru-baru ini parents kau datang rumah kan?” Kausar teringat kedatangan Tuan Daim dan Puan Izzah ke rumah pada dua bulan lepas. Semasa itu dia balik kampung dan tidak berjumpa dengan mereka berdua.

            “ Hmm…. Datang nak tengok aku tapi abah aku sengaja nak sakitkan hati aku. Nampak aku saja, ada benda nak komen. Aku dah cakap kat Umi, datang seorang saja, tak payah bagi abah ikut tapi Umi cakap, abah yang nak ikut. Nasib baik aku ni penyabar!” jawab Emira. Kausar pernah bertemu dengan ibunya saja. Itu pun sebab ibunya datang sebab mahu memasak untuk mereka berdua.

            “Adik kau nak kahwin bulan depan kan?” tanya Kausar lagi.

            “Ya. Sebab itu hujung minggu ni ada makan-makan. Sorry la aku tak dapat nak jemput kau sebab bukan aku yang nak kahwin.”

            “Tak nak la aku pergi kenduri adik kau.” Kausar menggelengkan kepala dengan laju.

            Emira tersenyum melihat gelagat Kausar. Ikutkan hati dia malas nak pergi tetapi apa pulak kata saudara mara dia nanti. Lagipun ibunya memujuk dia balik sebab mahu mencuba baju kurung yang ditempah ibunya untuk hari nikah, hari persandingan dan jugak kenduri kahwin pihak lelaki. Jadi terpaksa jugak dia balik ke Putrajaya.

Friday, November 22, 2024

POSKAD CINTA DARI KANADA - BAB 1

 

Bab 1

            EMIRA melangkah masuk ke dalam rumah dengan memberi salam. Dia melihat teman serumahnya selama lima tahun ini sedang duduk di sofa menonton tv.

            “Waalaikumussalam! Baru balik? Lambatnya kau balik hari ini, banyak kerja ke?” tanya Kausar. Dia mengambil kerepek ubi dan terus dimasukkan ke dalam mulut. Balang kerepek ubi masih berada dalam pelukkan dia. Semasa dia menonton drama, dia terdengar bunyi motor Emira.

            “ Biasa la hujung minggu. Ramai sangat orang kat Watsons.” Jawab Emira sambil tersenyum menjawab pertanyaan Kausar. Dia meletakkan topi keledarnya di atas almari kasut. Pintu almari kasut dibuka, dia terus meletakkan kasut kerjanya di dalamnya.

            “Bulan depan, kau dah start phd kan? So kau still lagi nak kerja part time ke?” tanya Kausar. Tak sangka Emira masih bersemangat untuk study phd lagi, bagi dia degree sudah cukup, dia sudah tak sanggup nak belajar lagi. Alhamdulillah dia dapat kerja selepas habis degree. Memang rezeki dia agaknya. Dia bersyukur sangat-sangat mendapat kerja menjadi penolong akauntan.

            “ Ya. Aku dah plan semuanya, tak ada masalah pun kalau aku kerja part time dengan study. Lagipun aku kena cari duit jugak nak bayar duit sewa, betul tak?” Emira tersenyum.

            “Bukan apa, aku risau jugak tengok kau kerja kuat sangat lepas tu belajar lagi. Kau boleh minta tolong parents kau kan!” Kausar melihat ke arah Emira. Keluarga Emira bukannya datang dari keluarga yang susah pun. Ayah Emira seorang juruterbang MAS manakala ibu Emira pulak seorang peguam yang ada firma guaman sendiri. Sebenarnya Emira datang dari keluarga senang.

            “Kau tahu kan prinsip aku, selagi aku kuat bertenaga, aku mahu berdikari. Aku tak nak menyusahkan parents aku. Aku yang nak sambung belajar jadi aku kena support diri aku sendiri, betul tak?” tegas Emira. Keputusan dia untuk menyambung pelajaran PHD mendapat tentangan hebat dari ayahnya. Pada pendapat ayahnya, bidang yang dia mahu ceburi itu tidak menjamin masa depan. Dia mahu membuktikan dekat ayahnya yang dia boleh berjaya dengan bidang yang diceburinya.

            Kausar hanya mampu tersenyum kelat. Sejak dulu lagi Emira seorang yang suka berdikari dan tidak suka menyusahkan orang lain.

            “Aaa… Ada poskad untuk kau. Sorry la aku terbaca tadi. Dah nama poskad kan! Ada kat meja.” Beritahu Kausar. Dia baru teringat ada poskad di dalam peti surat semasa dia balik kerja tadi.

            “Poskad? Dari siapa?” Dahi Emira berkerut. Dia berjalan ke arah meja.

            “Kau pernah pergi Kanada ke? Poskad tu dari Kanada. Aaa….Nama pengirim tu Rais!” tanya Kausar. Sebenarnya dia rasa pelik dengan poskad itu.

            “Bila masanya aku pergi Kanada? Setiap hari kau nampak aku kan! Kalau tak silap aku perjalanan Malaysia ke Kanada lebih kurang 17 jam 50 minit rasanya!” jawab Emira. Semakin berkerut dahinya apabila membaca kandungan poskad itu.

            “Assalammualaikum …. Arfa Emira! How are you? Lama tak dengar pasal you selepas you balik Malaysia. How’s life? I selalu ingatkan masa kita bersama di sini! Jalan-jalan di Niagara Falls, Menara CN and The Butchart Garden! I miss those times and I miss you so much, Arfa! You tukar no phone ke? I try contact you tapi tak dapat. Lepas dapat poskad ni, call I balik, I still guna no phone yang sama. Bye! From Rais Taufiq. Siapa dia ni?” Emira membacanya dengan kuat selepas itu mulutnya ternganga beberapa saat. Kemudian Emira menoleh ke arah Kausar.

            “Nama memang dah betul nama kau tapi misterinya siapa Rais Taufiq tu? Betul ke kau tak pernah pergi Kanada!” balas Kausar.

            “Hari-hari kau nampak muka kat rumah ni lagipun aku ni mana ada duit nak pergi holiday tambah-tambah lagi nak holiday kat Kanada. Aku ni mana ada duit nak pergi sana, tiket flight pun aku tak mampu beli! Biarlah, aku rasa si Rais Taufiq ni tersalah alamat kot. Maybe nama kami sama, mungkin ada orang lain nama sama dengan aku. Dah la, aku nak mandi dulu. Lepas aku solat Isyak, kita keluar makan!” kata Emira.

            “Okey!” jawab Kausar. Tumpuan dia kembali ke arah tv.

            Emira berjalan ke arah bilik tidurnya. Sambil berjalan, sekali lagi dia melihat poskad yang ada di tangannya. Kenapa dia rasa gusar melihat poskad ini? Argh… bukan masalah dia pun.

                                                            *********************

            Selepas tamat perbualan dengan ibunya, Emira kembali semula duduk di sebelah Kausar. Dia melihat Kausar begitu berselera makan satay. Mereka berdua membuat keputusan untuk makan dekat gerai satay berhadapan taman perumahan yang mereka tinggal.

            “Amboi! Amboi! Makan sampai tak ingat kawan.” Kata Emira.

            “Bahagian kau, sikit pun aku tak sentuh. Nak buat macam mana, satay Mak Yani memang sedap menjilat jari. Kuah kacang dia orang memang terbaik. Aaa… pasal apa umi kau call?” jawab Kausar sambil mengunyah.

            “Umi suruh aku balik bulan depan, aku cakap tak boleh sebab aku busy kerja part time lepas tu aku dah start belajar kan. Umi cakap abah dah mula bising sebab last aku jumpa dia orang masa Hari Raya Haji. Aku malas nak balik sebab abah mesti nak perli aku. Apa saja pilihan aku, semuanya tak kena di mata abah. Aku sedar aku ni bukan anak kesayangan abah.” Beritahu Emira. Setiap kali balik, mesti sakit hati. Memang dia kecik hati dengan sikap ayahnya yang pilih kasih, tak salah kalau sokong pilihan yang dia buat.

            “Kau patut belajar dari adik kau, Inara. Pandai-pandai kau ambil hati abah kau.”

            “Aku bukan kaki bodek macam Inara tu. Abah nak kami berdua jadi pilot macam dia tapi aku memang tak minat langsung nak jadi pilot, Inara pun sama tak minat tapi Inara pilih nak jadi pramugari. Mula-mula tu memang la abah marah tapi aku tak tahu apa Inara cakap sampai abah setuju Inara nak jadi pramugari.” Mulut Emira terus muncung apabila bercakap mengenai Inara. Sememangnya hubungan dia dengan Inara tidak rapat.

            “Aku masih ingat lagi first time jumpa Inara tu kat Pavillion Bukit Jalil, sampai sekarang aku masih ingat detik-detik aku berjumpa Inara. Aku janji nak jumpa BFF aku kat sana, aku terkejut bila jumpa kau berpakaian feminin dengan mekap sekali. Bukan main lawa giler kau masa tu, aku pun tegur kau tapi kau siap jeling lagi lepas tu dengan sombongnya kau tanya aku ni siapa! Memang terbeliak mata aku tu, sampai hati kau tak kenal housemate kau. Bila aku panggil nama kau, muka kau terus berubah.” Cerita Kausar. Dia terus berhenti makan.

            “ You tak ada mata ke? Tak tahu beza ke? I Inara bukan Emira, faham!” Kausar melakonkan semua gaya percakapan dan gerak gaya Inara ketika itu.

            Emira terus ketawa.

            “ Boleh pulak kau gelak? Kenapa kau tak cakap yang Inara tu adik kembar kau, muka sebijik macam kau cuma perangai dengan personaliti saja lain. Kat mulut asyik cakap Inara tu adik saja bukannya kembar. Kalau awal-awal lagi kau cerita kat aku, Inara tu sebenarnya kembar kau, tak la aku ni rasa malu masa tu.” Marah Kausar. Tak sangka selama lima tahun menjadi teman serumah, Emira tidak menjelaskan hal sebenar tentang Inara. Terkejut jugak masa Emira beritahu yang Inara adalah adik kembar seiras.

            “ Eh, memang Inara tu adik aku. Dia lahir lewat 3 minit dari aku. Kiranya Inara tu adik kan!” jawab Emira. Dia menyambung semula makan.

            “Banyak la kau punya adik! Makan cepat, tengah suam-suam mesti sedap.” Kata Kausar. Dia mengambil satay daging yang ada di depan matanya.

            Sambil mengunyah, Emira tersenyum melihat gelagat Kausar makan. Bukan senang nak dapat teman serumah yang baik dan sekepala macam Kausar.

           

           

DIA MENARIK PERHATIANKU - BAB 7

 

Bab 7

            ATAN berjalan di sepanjang pagar kebun pagar untuk memastikan tiada lagi cerobohan dari babi hutan. Dia berasa lega melihat pagar tiada kerosakkan. Bulan lepas ada babi hutan menceroboh masuk kebun ini. Habis pagar rosak tetapi mujurlah pokok pisang berangan yang ada di sekitar situ sudah pun dituai. Kalau tak, mesti rugi.

            Pandangan Atan beralih pula ke arah tanah yang dipenuhi semak samun yang terletak di belakang kebun pisang. Rasa bimbang jika babi hutan datang lagi. Lagipun hari ini mereka akan menanam 200 anak pisang nangka. Dia perlu buat sesuatu supaya apa yang berlaku bulan lepas takkan terjadi lagi.

            Tiba-tiba Atan teringat kerja yang seterusnya.

            “Mesti Pak Walid dah sampai.” Atan bersuara. Dia mencepatkan langkah menuju ke arah pondok yang merupakan tempat untuk mereka berehat dan berteduh termasuklah stor untuk simpanan barang.

            Kaki berhenti secara tiba-tiba setelah menyedari ada kelibat lain selain Pak Walid dan Wafiy.

            “Aduh! Kenapa pulak Widad kat sini? Mana-mana saja mesti ada Widad. Lagi aku nak lari, lagi dekat Widad tu datang. Nak tak nak aku kena hadap jugak Widad ini.” Atan menggelengkan kepala. Kali ini dia redha saja. Malas nak serabutkan kepala.

            “Atan!” Kedengaran suara Widad setelah menyedari kehadiran Atan. Senyuman meleret hingga ke telinga.

            Atan tidak mempedulikan Widad dan mendekati Pak Walid.

            “Baguslah, kamu sudah datang. Kamu dengan Wafiy bawa wheel barrow ini.” Beritahu Pak Walid. Dia menunjukkan dua buah wheel barrow yang penuh dengan anak-anak pisang nangka.

            “Baiklah, Pak Walid.” Kata Atan. Dia dan Wafiy menolak wheel barrow bersama-sama menuju ke kawasaan yang sudah ditanda untuk menanam pokok pisang nangka.

            Widad cuba mengambil peluang ini untuk mendekati Atan. Baru setapak melangkah, nama Widad dipanggil.

            “Widad, nak ke mana tu? Tolong ayah bawa cangkul ini.” Arah Pak Walid. Sempat lagi menjeling kerana geram dengan perangai Widad. Ada saja nak dekat dengan Atan.

            Dengan wajah masam, Widad hampiri ayahnya. Dia mengambil dua batang cangkul dan mengekori ayahnya.

            “Berat la ayah.” Widad merunggut.

            “ Dah nama cangkul, dah tentu la berat. Datang sini kena la tolong buat kerja. Selepas tanam semua anak pokok tu, ada kerja lain nak kena buat. Cepat la sikit.” Balas Pak Walid.  Mesti nak cari alasan curi tulang. Kenal sangat dengan perangai anak sulungnya itu. Hari ini dia akan suruh Widad buat kerja berat-berat supaya Widad takkan datang ke kebun ini lagi.

            Muncung terus bibir Widad selepas mendengar kata-kata ayahnya. Maklum la tersentap. Langkah berjalan pun sudah tak betul, mana taknya kasut boot bertumit tinggi yang dipakainya asyik terbenam ke dalam tanah. Dah la tu kena bawa cangkul. Dalam hati, Widad mengeluh.

            Sambil menolak wheel barrow, Atan tersenyum mendengar perbualan Pak Walid dan Widad. Dengan sengajanya dia memasang telinga. Memang patut pun Pak Walid suruh Widad buat kerja, ingat datang sini boleh goyang kaki. Biar Widad serik nak datang sini selepas ini.

            Mereka semua tiba di tapak yang akan ditanam pisang nangka.

            Tanpa disuruh, Atan dan Wafiy sudah tahu apa yang perlu dibuat.

            “Kamu, Widad! Tanam 50 anak pisang kat baris ini.” Beritahu Pak Walid.

            “Apa 50 anak pisang? Tapi ayah, kasut Widad ni tak sesuai nak kerja kat sini. Aaaa…. Widad balik dulu tukar kasut.” Widad terkejut dan mula terus memberi alasan. Kalau setakat nak tanam dua tiga anak pokok, dia boleh la tolong. Dalam masa yang sama, Widad menunjukkan kasut boot tinggi yang dipakainya. Sekelip mata kasut mahalnya itu sudah kotor.

            “ Dah nama nak pergi kebun, buat apa pakai kasut lawa macam ini. Dah tak payah balik, ada boot getah kat pondok. Pakai saja yang tu, boot getah mak kamu. Saiz sama kan? Wafiy, kamu pergi ambil boot getah kat pondok tu untuk kakak kamu.” Balas Pak Walid. Dia akan pastikan Widad menolong dia di kebun hari ini.

            “Baik, ayah!” jawab Wafiy. Dia sempat tersengih ke arah Widad yang sudah bermuka masam. Seronok sangat-sangat! Langkah diatur laju menuju ke pondok.

            Widad mengetap bibir. Gelisah terus!

            Atan yang menyaksikan apa yang berlaku hanya mampu menggelengkan kepala. Disebabkan Widad, kerja mereka semua tertangguh. Dia terus berjalan mendekati barisan yang akan ditanam dengan anak pokok pisang nangka. Dengan menggunakan cangkul, dia menggali lubang dan menggembur dulu tanah itu untuk pengudaraan yang baik. Anak pisang diangkat dan ditanam ke dalam lubang. Jarak tanaman anak pokok pisang juga penting untuk proses pembesaran.

            Sebaik saja selesai menanam 50 anak pisang, Atan menarik nafas lega. Tuala yang ada di bahu digunakan untuk mengelap wajahnya yang dibasahi dengan peluh. Penat tapi berbaloi. Tak sabar dia menanti untuk dituai hasilnya.

            Pandangan Atan ke arah Wafiy dan Pak Walid yang hampir selesai menanam anak pisang di barisan bersebelahan dengan Atan. Setiap orang akan menanam 50 anak pisang di empat barisan yang telah ditanda.  Matanya beralih pula melihat Widad yang masih jauh ke belakang. Rasa-rasanya baru 20 anak pisang yang ditanam oleh Widad. Nampak sangat Widad begitu kekok menanam anak pisang. Maklum la city girl! Bertahun-tahun tinggal di kota London.

            Atan mengeluh kuat sebelum mendekati Widad.

            “Tepi! Biar saya yang buat.” Atan bersuara. Dia terus mengambil cangkul dari tangan Widad.

            Mulanya Widad terkejut kemudian Widad tersenyum.

            “Awak ni memang sweet la.” Widad bersuara. Mata tak berkelip memandang Atan. Tak pernah terfikir pun yang Atan akan menolong dia. Jujurnya dia nak putus asa menanam semua ini, nak tercabut kedua-dua tangan dan pinggang. Seumur hidup dia tak pernah kerja macam ini. Lagipun kebun pisang miliknya ayahnya ini dibuka selepas ayahnya bersara. Asalnya menanam pokok pisang ini hanya sekadar hobi ayahnya untuk mengisi masa lapang. Tanah yang dulunya lima hektar saja kini sudah 25 hektar. Atas permintaan pembekal, ayahnya membuat keputusan untuk mengembangkan perusahaan ini. Dalam masa lima tahun, tanaman pisang ini menjana pendapatan yang lebih stabil. Lagipun Wafiy dan Atan ada membantu ayahnya.

            Atan malas melayan kerenah Widad. Dia menyambung kerja Widad yang tidak siap itu.

            “ Esok cuti kan? Awak buat apa? Jom keluar. Kita keluar pergi Taiping ke? Aaa… Penang pun boleh.” Ajak Widad. Dia mengambil peluang ini untuk mendekati Atan. Sempat lagi dia melihat ke arah ayah dan adiknya yang begitu asyik membuat kerja masing-masing. Cantik bila tiada orang yang akan kacau daun.

            “ Esok saya sibuk. Banyak kerja nak buat.” Jawab Atan. Dalam hati, dia mengeluh. Asyik ajak keluar saja, rimas la. Macam la tak tahu alasan sebenar Widad mengajak dia keluar. Tak habis-habis nak mengorek asal usul dia yang sebenar.

            “Dah nama cuti, takkan kerja kot. Kerja apa?” Widad tidak puas hati dengan jawapan Atan. Setiap kali ajak keluar, ada saja alasan yang diberikan.

            “Kerja rumah la.” Jawab Atan dengan nada acuh tak acuh.

            “Ala…. Kerja rumah boleh buat kemudian kan!” pujuk Widad.

            Atan diam membisu. Dia tak ada mood nak melayan. Fokus dia hanya satu iaitu menghabiskan menanam anak pokok pisang dalam barisan sehingga ke hujung.

            “Awak! Dengar tak, apa saya cakap ini! Jom la keluar. Saya belanja awak makan sekali. Susah sangat ke nak keluar dengan saya? Saya bukan nak makan awak pun. Aaa…. Kalau tak nak keluar berdua, saya ajak Wafiy sekali. Kita keluar bertiga, nak tak?” Widad tetap memujuk Atan walaupun dirinya tidak diendahkan.

            “Tak ingin la ikut, tak best pun kalau ikut Kak Widad keluar. Asyik nak orang ikut cakap dia saja.” Kedengaran suara Wafiy di belakang Widad.

            Widad menoleh ke belakang dan menjeling ke arah adiknya. Kata-kata Wafiy merosakkan rancangan dia. Geram teramat sangat.

            Tiba-tiba Wafiy ketawa melihat Widad.

            “Apa!” marah Widad. Panas hati ini apabila Wafiy sedang gelakkan dia.

            “Sekejap!” kata Wafiy. Dirinya masih tidak dapat menahan ketawa. Telefon pintar dikeluarkan dari poket seluarnya. Gambar Widad diambil dan ditunjukkan dekat kakaknya.

            Mata Widad terbeliak besar apabila melihat wajahnya. Dia menjerit sekuat hati dan kemudian menutup wajahnya. Malu! Dengan lajunya dia berlari meninggalkan Atan dan Wafiy.

            Semakin kuat gelak ketawa Wafiy. Gambar yang ditangkap sebentar tadi pasti dibuat simpanan seumur hidup.

            “Amboi! Gelak sakan nampak.” Atan bersuara dan melihat ke arah Wafiy.

            “Kenapa Abang Atan diamkan saja bila tengok wajah Kak Widad comot macam tu?” tanya Wafiy.

            “ Baik buat tak tahu saja, nanti Widad jugak malu.” Jawab Atan yang masih menanam anak pokok pisang. Mulanya memang dia nak tergelak apabila melihat wajah Widad tetapi membuat keputusan untuk mendiamkan diri. Sebab itu jugaklah, dia tak memandang wajah Widad. Jika dia tegur, mesti Widad terasa malu.

            “Wah, Abang Atan memang gentleman la.” Puji Wafiy. Dia tersenyum melihat Atan.

            Atan mendiamkan diri dan menumpukan fokus sepenuhnya menghabiskan kerja Widad.

                                                *******************************

            Selepas membasuh mukanya di singki tandas, Widad melihat wajahnya di cermin. Wajahnya kini sudah bersih. Terkejut dia melihat wajahnya tadi, dah buat kerja tengah panas, sudah tentu la makep bercapuk apabila berpeluh. Dia mengetap bibir setelah memikirkan perangai Atan yang hanya mendiamkan diri tanpa memberitahu dirinya. Sakit hati bila Atan buat dek saja.

            “ Dah la malu, geram pun!” Widad bersuara. Wajah yang basah dikeringkan dengan tuala kecil.

            Widad keluar dari tandas. Dia terkejut melihat ayahnya yang sedang duduk di pangkin kayu.

            “ Aaa…. Jom! Selepas ini kita nak baja pulak pokok pisang tanduk pulak.” Ajak Pak Walid. Dia menunggu Widad keluar dari tandas pondok. Atan dan Wafiy sudah pun pergi membaja.

            Terkejut dengan ajakkan Pak Walid, tiba-tiba Widad terus memegang perut. Dia berpura-pura sakit perut untuk melepaskan diri. Diri ini sudah tak larat nak buat kerja. Panas pulak tu.

            “Ayah! Widad kena balik rumah, nak buang air besar, perut ini tiba-tiba meragam.” Beritahu Widad. Dia berpura-pura menahan sakit.

            “Berak saja kat tandas tu. Kan sama saja.” Jawab Pak Walid dengan selamba. Dia tahu niat sebenar Widad.

            “Mana sama, tak sama la! Apa-apa pun Widad nak balik jugak. Ayah, nak kunci kereta.”  Widad berkeras.

            “Kereta ayah nak guna nanti, tu ambik saja motor Wafiy tu. Kunci kat dalam pondok.” Kata Pak Walid. Dalam masa yang sama, mata memerhatikan perangai Widad.

            “Ayah tolong la ambilkan, Widad sakit perut ini.” Arah Widad. Kalau dia pergi ambil sendiri, nampak sangat dia hanya berpura-pura.

            Pak Walid menggelengkan kepala dan berjalan masuk ke dalam pondok untuk mengambil kunci motor Wafiy.

            Sebaik saja Widad mengambil kunci motor dari ayahnya, dia berjalan laju ke arah motor Wafiy.

            “Aii…. Dah hilang sakit perut ke?” tanya Pak Walid diakhiri dengan ketawa. Lucu melihat Widad. Berjalan sampai tak pijak tanah.

            Widad tidak mempedulikan kata-kata ayahnya. Enjin terus dihidupkan apabila membonceng motor itu dan dia terus memulus minyak motor. Apa yang penting, dia kena keluar dari kebun ini. Kalau tak, dia akan jadi hamba abadi kat sini. Sikit pun dia tak menoleh ke belakang.

            Lebih kurang lima minit, Widad tiba di rumahnya.

            “ Aiii… Awalnya balik!” tegur Mak Esah yang sedang menyiram pokok bunga setelah menyedari kepulangan Widad. Yang lagi pelik apabila Widad pulang dengan motor Wafiy.

            Dengan wajah masam, Widad hampiri ibunya.

            “Mak, ada ke patut ayah suruh Widad tanam anak pisang kat kebun tu. Sampai hati ayah buat Widad macam tu.” Widad mengadu dekat Mak Esah. Mengharapkan nasibnya dibela.

            “Laaa… Dah pergi kebun, memang patut pun buat kerja.” Balas Mak Esah.

            “Mak dengan ayah sama saja!” Bertambah masam muka Widad selepas mendengar kata-kata Mak Esah. Langkah diatur terus masuk ke dalam rumah. Menyesal pulak ikut ayahnya pergi kebun pagi ini.

            Pintu bilik ditolak dengan kasar. Suis kipas dipetik. Maklum la tengah panas hati. Telefon pintar terus dibaling atas katil.

            “ Lain yang aku plan, lain pulak yang jadi. Asalnya aku nak ajak Atan keluar, sekarang ini habuk pun tak ada. Atan pun satu, susah sangat ke nak setuju keluar dengan aku? Argh… He makes me crazy! ” Widad bercakap seorang sambil mencekak pinggang.

            Kemudian Widad mencapai tuala kerana dia rasa tak selesa kerana badannya rasa melekit akibat peluh bekerja di kebun.

            Bunyi telefon pintarnya mengejutkan Widad.

            “Siapa pulak call ni, aku nak mandi pun tak senang.” Widad merunggut. Diambil telefon pintarnya itu dari atas katil dengan kasar. Tiba-tiba anak mata membesar melihat nama yang tertera di skrin telefon. Dia segera menjawab panggilan yang penting itu.

            “Assalammualaikum…..”

            “Waalaikumussalam, Cik Hana! Sihat?” jawab Widad dengan penuh sopan santun.

            “Sihat alhamdullilah. You sihat?”

            “Dah tentu la sihat. Dapat balik kampung lepas tu dapat spend time dengan family. Terubat rasa rindu ni.” Widad tersenyum.

            Bestnya ada kampung. Kampung I kat KL saja. Tak dapat I nak rasa semua tu.”

            “ Ala…. Cik Hana boleh saja datang kampung I ni. Lagipun family I ada homestay. Kalau nak datang, beritahu I. I akan uruskan semuanya. Cik Hana boleh jalan-jalan kat sini sebab sini ada banyak air terjun yang cantik-cantik.”

            “ Ya ke? Maybe satu hari nanti I akan pergi. Widad, stop calling Cik Hana! Kan I dah cakap, panggil saja I Hana.”

            “Hmm…. Kalau macam tu I panggil Hana lepas waktu kerja, boleh kan!” kata Widad. Walaupun Hana tak kisah tetapi Hana adalah majikan. Dia tetap kena hormat Hana.

            Of course boleh. So bila you balik KL?”

            “Hmmm…… Rasanya hari Sabtu. I dah dapat rumah kat Cheras.” Beritahu Widad. Ayahnya akan tolong hantarkan ke KL bersama ibu dan adiknya.

            “Kereta macam mana? Kalau you nak, I boleh bagi kereta I?”

            Thank you but I dah sewa kereta tapi you boleh teman I masa nak beli kereta nanti.”

            Of course boleh. Okeylah I tak nak ganggu you berehat. Nanti kirim salam I kat parents you. Bye. Assalammualaikum…..”

            “Waalaikumussalam.” Widad tersenyum selepas mengakhiri perbualan tadi. Bertuah bila dapat majikan yang ambil berat pasal pekerja. Tak sabar dia nak bekerja DA Group nanti. Permulaan baru bagi kehidupan dia di Malaysia.

Saturday, October 19, 2024

DIA MENARIK PERHATIANKU - BAB 6

 

Bab 6

            USAI solat Subuh, Atan terus menuju ke dapur. Dia membuka peti sejuk dan mengeluarkan bahan-bahan untuk dimasak pagi ini. Untuk menjimatkan masa, dia menyediakan bahan-bahan sejak malam tadi. Pagi ini dia akan terus saja memasak.

            Atan memasak mee goreng untuk sarapan pagi. Mudah dan cepat. Dia terus memasukkan mee goreng yang sudah siap itu ke dalam pinggan. Mug air kopi sudah pun disediakan. Tak seminit duduk di kerusi, Atan teringat sesuatu

            “Alamak, nasi tak masak lagi.” Kata Atan dan kemudian terus bangun. Dia segera memasak nasi untuk dibawa ke kebun untuk makan tengahhari. Setiap hari dia akan bawa bekal untuk makan tengahhari di sana. Lauk pulak simple saja. Lauk gulai kepala ikan dan sayur kubis goreng. Malam tadi dia sudah masak dan dipanaskan pagi ini. Itu rutin harian dia setiap hari. Namun sejak kebelakangan ini, dia terpaksa keluar awal rumah disebabkan mahu mengelak dari terserempak dengan Widad.

            Selesai saja memasak nasi, Atan duduk semula di kerusi. Dia menadah tangan untuk membaca doa makan. Dirinya sudah biasa makan seorang diri. Kadang-kadang itu Mak Esah dan Pak Walid ada panggil makan bersama-sama.

            Habis makan, Atan segera mengemas dapur. Bekalan untuk makan tengahhari sudah pun siap disediakan. Dia terus memasukkan bekas makanan ke dalam bag. Anak mata melirik ke arah jam dinding. Dah lewat!

            Atan bergegas menuju ke biliknya. Sepantas kilat dia menukar baju dan bersiap sedia untuk pergi ke kebun pisang.

            Apabila melalui ruang tamu, langkah Atan terhenti. Dia melihat ke arah frame gambar Mak Wan. Atan tersenyum meratapi wajah Mak Wan. Dia sayangkan Mak Wan lebih dari ibu kandungnya sendiri. Tak sangka Mak Wan pergi buat selama-lamanya. Rasa jugak terkilan kerana tidak jumpa Mak Wan untuk kali terakhir.

            “Esok cuti, boleh la aku pergi ziarah kubur Mak Wan.” Kata Atan. Dia meneruskan langkahnya keluar melalu pintu depan rumah. Selalunya dia kerap keluar melalui pintu dapur tetapi kini pintu dapur sudah tidak selamat untuk dirinya. Kedudukan pintu dapur rumahnya begitu dekat dengan bilik Widad.

            Dengan penuh berhati-hati, Atan membuka pintu rumahnya. Dalam hati dia mengeluh, apalah nasib badan, gaya nak keluar rumah sendiri pun dah macam pencuri.

            Dia melihat suasana gelap mula cerah. Sinaran matahari mula menyinari langit gelap itu. Ada senyuman di bibir Atan. Bagi dia pemandangan ketika ini begitu indah sekali. Pemandangan beralih ke arah bilik Widad, nasib baik masih gelap lagi tetapi tiba-tiba saja bilik Widad cerah.

            Tubuh Atan terus mengeras. Dia terus menyorok di sebalik dinding rumahnya. Jantungnya berdegup laju.

            “Selagi Widad ada kat sini, hidup aku takkan aman.” Atan bersuara dengan nada perlahan. Dia menjengukkan kepala untuk melihat apa yang berlaku. Hanya lampu bilik Widad terbuka. Tanpa melengahkan masa, Atan hampiri basikalnya dan terus naik. Selaju mungkin dia mengayuh basikal sehingga ke jalan besar. Dia kembali mengayuh basikal seperti biasa setelah jauh dari rumahnya. Nafas ditarik dan dihembus perlahan-lahan. Nyaman betul! Dia sukakan suasana begini. Sekelip mata dia lupa pasal Widad.

                                                            ******************

            Pak Walid mengambil kasut boot getah yang ada di atas rak. Dia terus memakainya dan bersiap sedia pergi ke kebun. Lagipun Atan dan Wafiy sudah pun pergi. Kerana cuaca nampak elok pagi, memang sesuai untuk menanam anak pokok pisang nangka.

            “Jom ayah!” ajak Widad. Dia berdiri di sebelah Pak Walid. Kasut boot bertumit tinggi terus dipakai oleh Widad.

            Dahi Pak Walid berkerut melihat pemakaian Widad. Berseluar jeans, tshirt putih dan kemeja bercorak petak biru yang tidak dibutangkan tetapi hujungnya diikat dipinggang. Ada topi cowboy kat kepala Widad lagi.

            “Nak ke mana ni?” tanya Pak Walid.

            “Pergi kebun la. Saya tunggu dalam kereta.” Jawab Widad. Dia berjalan laju ke arah kereta Isuzu D Max milik ayahnya. Sebelum ayahnya melarang pergi, dia cepat-cepat masuk ke dalam kereta.

            Mulut Pak Walid melopong luas. Macam tak percaya pun ada.

            “ Ni abang tertinggal topi kebun kat dapur.” Kata Mak Esah apabila menghampiri suaminya. Dia menghulurkan topi kebun itu.

            “ Widad tu tiba-tiba nak ikut abang pergi kebun. Dah buang tabiat agaknya.” Beritahu Pak Walid sebaik mengambil topi kebun dan dipakainya di kepala.

            Mak Esah menggelengkan kepala. Patut la tadi selepas sarapan pagi, Widad kelam kabut masuk ke bilik tanpa menolong dia di dapur.

            “Apa yang nak dihairan kan, abang! Perangai Widad tu kita tak boleh di duga. Abang sabar saja la. Hari itu abang jugak suruh saya bersabar kan, hari ini giliran abang pulak bersabar. Saya nak sidai baju, banyak lagi kerja saya nak kena buat kat rumah ini.” Balas Mak Esah. Dia cuba menahan ketawa. Biar suaminya rasa pulak apa yang dia rasa, hari itu bila dia mengadu perangai Widad, suaminya asyik suruh bersabar. Hari ini giliran suaminya merasai semua itu.

            Pak Walid melihat Mak Esah yang sudah meninggalkan dia. Sempat lagi dia mengeluh kuat. Langkah diatur perlahan-lahan menuju ke kereta Isuzu D Max itu.

            “ Sebelum ini kamu tak pernah nak pergi kebun, kenapa tiba-tiba nak pergi?” tanya Pak Walid sebaik saja masuk. Dia terus memakai tali pinggang.

            “Tak salah kan kalau saya pergi, saya kan share partner ayah. Lagipun 10 hektar tanah yang baru beli tu, saya tak pernah tengok lagi. Nak kena jugak tahu.” Jawab Widad.

            “Iyalah. Ayah sikit pun tak percaya cakap kamu. Ni mesti ada udang di sebalik batu kan?” tambah Pak Walid. Dia terus menghidupkan enjin kereta. Niat sebenar Widad ada di dalam genggaman dia. Mesti Atan terkejut dengan kedatangan Widad.

            “ Bukan ada udang di sebalik batu tapi sambil menyelam minum air.” Balas Widad. Dia tersengih. Sikit pun tak rasa malu.

            “ Ayah bagi kamu warning awal-awal, Widad. Hari ini kami ada banyak kerja nak buat. Jangan buat hal. Kalau tak, ayah halau kamu balik. Yang penting, jangan kamu kacau Atan. Faham!” tegas Pak Walid dengan wajah serius.

            Widad hanya diam membisu dan memandang ke arah luar tingkap.

            Pak Walid menggelengkan setelah melihat reaksi anak sulungnya itu. Nampak sangat amaran dia tadi seperti mencurah air di daun keladi. Kaki terus menekan pedal minyak. Kereta Isuzu D Max bergerak meninggalkan perkarangan rumah.

                                                            *******************

            Tibanya di kebun pisang, Widad segera turun sebaik saja kereta berhenti. Mata dia seperti helang mencari kelibat Atan di sekitar kebun itu.

            “Kak Widad, kenapa datang sini?” tanya Wafiy. Dia yang ketika itu sedang mengira bilangan anak pisang terus berhenti setelah menyedari kedatangan kakaknya bersama ayahnya.

            Pertanyaan Wafiy dibalas dengan jelingan tajam oleh Widad. Nampak sangat Wafiy tidak mengalu-alukan kedatangan dia di sini.

            “Kakak kamu nak tolong kita tanam anak pisang. Lagi ramai orang tolong, lagi cepat kita siap kerja.” Pak Walid bersuara dan menghampiri mereka berdua.

            “Apa! Boleh percaya nak tolong? Reti ke nak tanam pokok? Tanam pokok pun tak pernah.” Sindir Wafiy dengan renungan mata ke arah Widad. Awal-awal lagi dia tahu niat kakaknya datang ke kebun ini.

            “ Ala, setakat tanam pokok apa la sangat. Pejam mata pun boleh tanam.” Balas Widad. Sakit hati mendengar kata Wafiy seolah-olah memperlekehkan dirinya.

            “Dah jangan nak bergaduh kat sini pulak. Banyak kerja lagi nak buat.” Pak Walid mencelah sebelum perbalahan anak-anaknyai tu berpanjangan.

            Widad dan Wafiy terdiam.

            Pak Walid berjalan ke arah pondok. Dia perlu bersiap sedia untuk membuat kerja.

            Widad ingin mengambil peluang untuk mencari Atan namun tangannya sempat dipegang oleh Wafiy.

            “Ayah! Kak Widad nak curi tulang!” jerit Wafiy sekuat hati. Biar ayahnya tahu. Kemudian dia tersenyum ke arah Widad. Jangan harap Widad akan terlepas dari pandangan matanya. Genggaman tangan Wafiy semakin erat.

            Widad mengetap bibir. Yang jelas wajahnya bengang. Tak guna punya Wafiy.

            “ Widad, datang sini. Nak tolong kan, buat cara nak tolong atau ayah hantar kamu balik rumah.” Pak Walid mencekak pinggang memberi amaran. Dia menggunakan isyarat tangan memegang Widad supaya datang ke arahnya.

            “Yalah! Yalah!” jawab Widad. Dia menarik tangannya dengan kasar dari pegangan adiknya. Lepas ini tahu la nasib Wafiy. Dengan wajah masam, dia mendekati ayahnya.

            Wafiy mengekori dari belakang untuk memastikan Widad tidak melarikan diri. Kalaulah Atan ada telefon, dah lama dia mesej beritahu kedatangan kakaknya. Tadi Atan cakap nak pergi tengok pagar di hujung sana kerana takut babi hutan masuk sekali lagi makan pokok pisang yang telah ditanam. Sejak kebelakangan ini, babi hutan kerap menerjah masuk ke kebun mereka.

            “ Pergi pakai sarung tangan, nanti angkat anak-anak pisang dekat wheel barrow tu.” Pak Walid memberi arahan.

            Widad menuruti arahan ayahnya. Dia memakai sarung tangan malah matanya tetap melirik ke pelbagai arah mencari Atan. Mana pulak Atan ni pergi? Takkan la Atan tak ada di sini. Sia-sia saja dia datang kalau macam ini.

 

             

           

           

Sunday, January 14, 2024

DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

 

Bab 5

            SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga petang. Itulah kerja mereka berdua setiap hari kecuali hari Khamis.

            “Wafiy, bulan ini homestay kita full setiap hujung minggu kan?” tanya Atan setelah masuk ke dalam ofis mereka yang terletak berhampiran dengan homestay. Dia terus membuka suis kipas dan lampu.

            “ Ya. Full. Alhamdulilah, tahun ini rezeki melimpah-limpah. Boleh minta bonus sikit kat ayah.” Jawab Wafiy. Dia ketawa kecil. Tingkap ofis dibuka agar udara luar masuk.

            “Amin. Bulan depan cuti sekolah dah start mesti full homestay ini.” Atan tersenyum. Setiap kali cuti sekolah sememangnya homestay sini sentiasa penuh. Maklum la di belakang homestay ini ada anak sungai yang cantik dan juga cetek. Selamat terutama sekali untuk kanak-kanak bermandi-manda. Selalunya guests yang datang pasti akan datang sekali lagi ke sini.

            “ Itu pun sudah ada orang booking.” Beritahu Wafiy.

            “Ya ke? Lagi pantas, iyalah siapa cepat, dialah yang dapat. Wafiy, saya nak pergi sapu sampah kat belakang homestay. Kalau ada apa-apa, cari saya kat sana.” Kata Atan. Dia terus keluar. Sebelum itu, dia pergi ke belakang ofis untuk mengambil penyapu dan penyodok.

            Langkah diatur menuju ke belakang homestay. Atan melihat daun-daun kering bertaburan di atas tanah. Bunyi air sungai begitu jelas sekali. Dia tersenyum. Sememangnya dia sukakan suasana begini. Nyaman dan tenang.

            Tanpa membuang masa, Atan segera menyapu. Dalam masa yang sama dia baru teringat pesanan Pak Walid supaya mengubah pasu bunga kertas di homestay Mawar yang menganggu laluan jalan.

            Selesai melakukan tugasnya, Atan menyimpan semula penyapu dan penyodok di belakang ofis. Dia meneruskan langkah ke homestay Mawar.

            “Abang Atan, saya dah ubah pasu bunga yang ayah pesan tadi.” Beritahu Wafiy yang ketika itu sedang menyiram pokok-pokok bunga yang ada homestay Mawar.

            “Kalau dah settle, saya ……….” Belum sempat Atan menghabiskan kata-katanya, dia terkejut mendengar bunyi loceng basikal.

            Dahi Wafiy berkerut melihat Widad mengayuh basikal dengan laju memasuki perkarangan homestay.

            “Assalammualaikum……..” Widad memberi salam. Dia terus brek basikalnya secara tiba-tiba di tepi Atan. Pandangan mata Widad tepat ke arah Atan. Sikit pun dia tak pandang adiknya. 

            “Waalaikumussalam.” Jawab Atan dengan nada perlahan. Dia memandang ke arah lain. Kenapa pulak Widad singgah sini? Aduh, leceh la. Air muka Atan menunjukkan rasa tak selesa. Dia sengaja mengundur dua tapak ke belakang agar menjauhi Widad. Dia cuba bertenang. Otak mula ligat memikirkan jalan untuk melarikan diri.

            Wafiy menggelengkan kepala melihat perangai Widad yang tidak menghiraukan langsung kewujudan dia di situ. Dengan sengajanya, Wafiy menyiram air dekat kakaknya.

            “Apa ni? Basah la.” Widad terkejut apabila dirinya dibasahi dengan air. Mata dia beralih ke arah Wafiy yang memegang paip air.

            “Opsss…. Sorry, tak sengaja. Ingatkan pokok tadi.” Balas Wafiy. Dia tersengih.

            “Sengaja kan!” marah Widad. Mata sudah terjegil besar.

            “Aaa….. Kenapa tiba-tiba datang sini?” tanya Wafiy. Dia menyedari perubahan wajah Atan apabila kakaknya muncul.

            Excuse me, dah lupa ke siapa investor homestay ni?” jawab Widad.

            Bibir Wafiy terus muncung. Dah tentu la dia tahu kakaknya ada share terbesar dalam perniagaan family mereka. Kiranya kakaknya bos besar jugak la selepas ayah dia.

            Pandangan Widad berubah ke arah Atan. Air muka berubah semanis gula. Dia segera turun dari basikal.

            “Awak! Tadi saya pergi warung Mak Intan, Mak Intan suruh bagi awak laksa.” Beritahu Widad. Dia menghulurkan bag plastik pada Atan.

            “Aaa…. Terima kasih.” Kata Atan selepas mengambil bag plastik itu dari Widad.

            “Sama-sama kasih.” Jawab Widad. Dia tersenyum meleret.

            “ Saya minta diri dulu. Ada banyak kerja tak siap lagi.” Kata Atan. Dia mengambil peluang ini untuk meloloskan diri. Kaki melangkah laju menuju ke ofis.

            Widad terpingga-pingga apabila Atan pergi begitu saja. Dia ingin memanggil Atan tetapi Wafiy terlebih dulu bersuara.

            “Aaa…. Dah hantar kan, pergi la balik.” Wafiy menyuruh kakaknya segera pulang ke rumah.

            “Amboi, halau nampak! Aaa…. Ofis tu aku tak tengok lagi. Aku nak pergi tengok.” Kata Widad. Baru saja beberapa bulan ofis itu siap. Lagipun dia yang memberikan cadangan supaya ofis dibina untuk memudahkan urusan pendaftaran guests yang datang.

            Wafiy mengeluh kuat. Dia melihat kakaknya berjalan laju menuju ke ofis.

            “ Sorry la Abang Atan. Dah cuba tapi Kak Widad tu tak makan saman.” Wafiy bercakap seorang diri. Dia menyambung semula menyiram pokok bunga yang ada di situ.

                                                ***************************

            Bag plastik berisi laksa itu dihidu oleh Atan. Bau laksa saja sudah buat perutnya bergelora. Laksa hasil tangan Mak Intan memang sedap. Dia selalu makan kat situ.

            Kemudian dia meletakkan bag plastik itu di atas meja. Selepas dia selesaikan kerja nanti baru dia makan.

            “Laa…. Kenapa tak makan?”

            Atan terkejut dengan kehadiran Widad di dalam ofis itu.

            “ Ada banyak kerja nak buat.” Ringkas jawapan yang keluar dari mulut Atan. Aduh, kenapa pulak Widad ada kat sini pulak? Dia sempat melirik mata ke luar tingkap mencari Wafiy untuk menolong dia. Ternyata Wafiy sedang menyiram pokok bunga. Dia ingin keluar  dari situ namun Widad menghalang laluan Atan. Masa itu Atan berharap sangat kalau ofis ada dua pintu keluar, ada peluang dia melarikan diri.

            “Mana boleh macam itu? Masa bekerja dengan masa berehat mesti la seimbang. Kesihatan kena jaga. Macam mana?  Dah ada ofis, selesa kan? Urusan semuanya mudah, betul tak? Tak payah la asyik nak ulang alik bila ada guests nak check in.” kata Widad. Dia memang sengaja berdiri di depan pintu ofis itu.

            Atan hanya mampu tersenyum mengiyakan kata-kata Widad. Rasa kekok apabila Widad ada di depan mata.

            “ Awak suka makan apa lagi? Mak Intan cakap awak suka makan laksa. Selain laksa, awak suka makan apa lagi?” tanya Widad. Dia tetap cuba berbual dengan Atan. Tadi semasa dia makan di warung Mak Intan, macam-macam gossip Mak Intan bercerita pasal dia termasuk la pasal Atan. Mak Intan jugak beritahu yang Mak Intan cuba korek asal usul Atan tetapi Atan pandai mengelak dari menjawab pertanyaan Mak Intan.

            “ Saya makan apa saja asalkan halal.” Jawab Atan.

            “Ya ke? Saya pun suka makan apa saja asalkan halal. Tak sangka kita ada kesamaan.” Widad menepuk tangan secara tiba-tiba dengan wajah ceria.

            Dahi Atan berkerut. Dah kenapa Widad ni? Dah macam monyet pun ada.

            “Kalau macam tu malam ini jom makan satay kat pekan? Dengar-dengar satay kat situ sedap. Wafiy ada beritahu baru-baru ini. Jom la.” Ajak Widad. Dia mengambil peluang ini untuk keluar berdua dengan Atan.

            “Maaf, saya tak suka makan kat luar.”

            “Kalau macam tu, saya beli bawa balik lepas tu kita makan sama-sama.” Widad masih tidak putus asa. Apa pun alasan Atan, dia mencari jalan agar dapat keluar dating dengan Atan.

            Atan cuba menahan geram. Dah orang tak nak, tetap jugak nak paksa.

            Tiba-tiba bahu Widad dicuit dari belakang, dia menoleh.

            “Apa!” marah Widad apabila bertentang mata dengan Wafiy. Kacau daun saja!

            “Mak call. Nak cakap dengan Kak Widad.” Beritahu Wafiy. Telefon pintar yang ada di tangannya dihulur dekat kakaknya.

            “Nanti la aku call balik.” Jawab Widad. Ada benda lagi penting yang dia kena buat dari menjawab panggilan ibunya.

            Wafiy menarik tubuh kakaknya agar jauh sedikit dari pintu. Dia meletakkan telefon pintarnya di tangan Widad.

            “Nak mak datang sini ke atau nak jawab call mak sekarang?” ugut Wafiy.

            “Yalah! Yalah!” Widad mengalah. Jika ibunya datang pasti ribut yang akan datang. Dia menjawab panggilan itu dengan lemah.

            Wafiy memandang ke arah Atan dan memberi isyarat mata supaya beredar dari situ sementara dia mengalih perhatian Widad.

            Atan memahami isyarat yang diberi oleh Wafiy. Dengan segera dia keluar dari ofis setelah melihat Widad sibuk menjawab panggilan Mak Esah. Dia melangkah laju pergi ke belakang homestay.

            Sebaik saja berhenti berlari, Atan memegang dadanya. Jantungnya berdegup laju. Dia menoleh ke belakang. Tiada sesiapa pun. Bimbang jika dirinya dikejar Widad.

            “Tahap tak faham Widad ini semakin menjadi-jadi. Macam aku tak tahu helah dia! Ini mesti dia nak cari peluang nak korek rahsia aku. Arghhh…. Stress!” Atan bercakap seorang diri. Sejak dulu lagi, Widad cuba tahu pasal diri dia. Ada saja macam-macam soalan ditanya oleh Widad. Tahap menyibuk Widad boleh tahan jugak. Nasib baik Wafiy tak macam tu. Dia berharap sangat Widad pergi KL secepat mungkin.

                                                            *******************

            Pintu kereta Nissan Almera ditutup sebaik saja Widad keluar dari perut kereta. Dia dan ibunya baru saja pulang dari rumah adik ibunya di Kulim, Kedah,

            “Patutnya mak call dulu Mak Su sebelum pergi. Tengok, sia-sia saja kita pergi tapi Mak Su tak ada. Mak Su satu family pergi bercuti kat Langkawi.” Widad bersuara. Tadi ibunya beriya-iya suruh dia balik dari homestay semata-mata mahu teman pergi rumah ibu saudaranya.

            “Mana mak tahu. Dua hari lepas, mak ada call Mak Su kamu tapi Mak Su kamu tak cakap pun nak pergi bercuti.” Jawab Mak Esah. Dia berjalan menuju ke pintu rumah. Hakikatnya dia tak plan pun nak pergi rumah adiknya tetapi disebabkan dia mahu Widad balik rumah dengan segera terpaksa dia buat plan mengejut.

            “Bazir masa, bazir minyak, alih-alih Mak Su tak ada.” Widad tak habis-habis lagi mengungkit.

            “ Kamu ni berkira sangat. Nak buat macam mana, tak ada rezeki nak jumpa Mak Su kamu. Lagipun Mak Su kamu memang nak sangat jumpa kamu.” Mak Esah membela dirinya.

            Mulut Widad terus senget ke tepi.

            “Aaa… Petang ini teman mak pergi pasar malam kat hujung kampung.” Beritahu Mak Esah.

            “ Apa! Mak ajak la ayah, kan senang!” Widad menolak.

            “Eh! Eh! Kita ajak dia, dia pas pulak kat ayah dia. Oooo….dengan mak sendiri, berkira sangat-sangat, kalau pasal Atan, kamu sanggup buat apa saja.” Sindir Mak Esah. Dia menjeling ke arah Widad sambil berjalan bersama-sama.

            “Kenapa? Jealous ke? Tak payah nak jealous sangat, mak dah ada ayah kot.” Kata Widad. Dia tersengih.

            “Tak kuasa nak jealous.” Balas Mak Esah. Dia menanggalkan kasut dan mula mencari kunci rumah di dalam bag tangannya.

            “ Mak apa nama penuh Atan?” tanya Widad secara tiba-tiba.

            Mak Esah menoleh melihat Widad. Kunci rumah sudah ada di tangan.

            “Atan la.” Jawab Mak Esah. Dia cepat-cepat membuka pintu rumah. Tak mahu dirinya diajukan soalan lagi.

            “ Mustahil la mak tak tahu. Saya rasa Atan tu hanya nama panggilan saja. Takkan la tak ada nama Mohd ke, Ahmad ke atau pun Ali ke? Bin tu …. Mesti bin nama bapak dia kan! Tipu sangat la kalau mak ayah tak tahu.” Widad memerhatikan gelagat Mak Esah. Dah mula ibunya gelabah kalau dia cuba bertanya pasal Atan.

            “Nak tahu sangat, kamu tanya sendiri dekat Atan tu.” Balas Mak Esah. Pintu besi sudah pun dibuka kini hanya tinggal pintu rumah saja. Dia mahu melarikan diri dari Widad. Salah diri sendiri juga sebab tiba-tiba petik nama Atan.

            “ Ingat senang, mulut Atan tu kan ada emas. Lepas tu kan, Atan anak kawan Mak Wan yang mana satu? Seingat saya lepas Mak Wan berhenti jadi orang gaji kat KL, Mak Wan terus tinggal kat kampung ni.” Jawab Widad. Dalam masa yang sama, dia teringatkan wajah ibu saudaranya itu. Dia rapat dengan kakak ayahnya sejak kecil lagi. Selepas balik dari KL, kesihatan Mak Wan semakin merosot dan meninggal dunia selepas disahkan menghidap barah hati. Kemudian rumah Mak Wan diduduki oleh Atan sehingga sekarang.

            “Mak Wan kamu banyak kawan. Kalau mak beritahu pun, kamu takkan kenal. Alamak, dah nak hujan. Baju tak ambil lagi kat ampaian.” Kata Mak Esah secara tiba-tiba. Di saat pintu rumah dibuka, Mak Esah berjalan laju masuk ke dalam rumah.

            Widad melihat ke arah langit.

            “ Hujan apa bendanya, langit cerah kot. Ini mesti takut aku tanya lebih-lebih pasal Atan.” Widad bercakap seorang diri. Macam la dia tak tahu taktik ibunya.

             

           

CERPEN : CINTA SEHALA (KARYASENI)

  𝐊𝐎𝐌𝐏𝐈𝐋𝐀𝐒𝐈 𝐂𝐄𝐑𝐏𝐄𝐍 - 𝐍𝐎𝐒𝐓𝐀𝐋𝐆𝐈𝐀 - 𝐘𝐚𝐧𝐠 𝐭𝐞𝐫𝐬𝐢𝐦𝐩𝐚𝐧 𝐝𝐚𝐥𝐚𝐦 𝐡𝐞𝐥𝐚𝐢𝐚𝐧 . Kami kumpulkan kary...